Annas dilantik Ketua Polis Daerah Wangsa Maju baharu

KUALA LUMPUR: Pengarah Operasi Bersepadu Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan National (NFCC), Asisten Komisioner Annas Sulaiman, secara rasmi dilantik Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, yang baharu hari ini.

Annas menggantikan Senior Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail, yang dilantik sebagai Timbalan Pengarah (Perancangan Strategik) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman.

Majlis serah terima tugas disaksikan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus.

Majlis serah terima tugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, dimulakan dengan majlis menandatangani dan pertukaran dokumen serah terima tugas antara Annas dan Mohamad Lazim.

Fadil berkata, pihaknya merakamkan penghargaan kepada Mohamad Lazim di atas khidmat bakti sepanjang memikul amanah sebagai Ketua Polis Daerah Wangsa Maju.

“Sepanjang tempoh perkhidmatan Mohamad Lazim pelbagai usaha, inisiatif dan pendekatan telah dilaksanakan dalam memperkukuh keselamatan serta kesejahteraan masyarakat setempat.

“Pelbagai kejayaan telah dicapai khususnya dalam aspek operasi, tangkapan dan pencegahan jenayah,” katanya.

Beliau berkata, kejayaan itu jelas membuktikan kepimpinan yang berteraskan integriti, komitmen tinggi dan rasa tanggungjawab yang utuh dalam memikul amanah sebagai Ketua Polis Daerah Wangsa Maju.

“Sepanjang tempoh setahun 11 bulan 26 hari, iaitu hampir dua tahun perkhidmatan Mohamad Lazim di Ibu Pejabat Daerah Wangsa Maju, beliau telah menunjukkan prestasi kepimpinan yang cemerlang dan lengkap dengan nilai integriti yang tinggi,” katanya.

Beliau berkata, pelantikan Mohamad Lazim sebagai Timbalan Pengarah (Perancangan Strategik), JSJK Bukit Aman adalah bertepatan dengan kepakarannya dalam bidang jenayah siber,

“Saya percaya pucuk pimpinan pasukan telah membuat pertimbangan yang tepat dalam menempatkan Mohamad Lazim di jawatan terbabit, selaras dengan pengalaman dan kepakaran yang dimiliki,” katanya.

Selain itu, Fadil berkata, tugas sebagai Ketua Polis Daerah, bukanlah satu tanggungjawab yang ringan, apatah lagi dalam mendepani cabaran semasa serta trend jenayah yang semakin kompleks.

“Namun begitu, dengan kepimpinan yang mantap serta semangat ‘esprit de corps’ dalam kalangan pegawai dan anggota, saya yakin setiap cabaran mampu diharungi dengan jayanya.

“Sehubungan itu, saya menyeru seluruh warga Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju untuk memberikan sokongan kepada Annas selaku Ketua Polis Daerah Wangsa Maju yang baharu dalam meneruskan agenda kecemerlangan pasukan,” katanya.