Sepanyol tumpul seri 0-0 dengan Mesir

CORNELLA DE LLOBREGAT, Sepanyol: Sepanyol mempamerkan aksi di bawah tahap sebenar apabila diikat 0-0 oleh Mesir pada aksi persahabatan awal pagi tadi, sekali gus menyaksikan mereka terlepas kedudukan nombor satu dunia, namun keputusan itu menjadi suntikan moral buat pelawat.

Mesir hampir mendahului pada separuh masa pertama apabila rembatan Omar Marmoush dari luar kotak penalti terkena tiang, manakala Sepanyol hanya mencipta beberapa peluang namun gagal menghasilkan peluang berbahaya.

Keputusan seri itu menyaksikan Sepanyol jatuh ke tangga kedua ranking dunia, dipintas oleh Perancis dengan peluang terbaik mereka hadir lima minit sebelum tamat menerusi sepakan percuma kencang Alejandro Grimaldo yang terkena palang.

Mesir menamatkan perlawanan dengan 10 pemain selepas Hamdi Fathy dilayangkan kad kuning kedua, namun tetap berpuas hati dengan persembahan tersusun pada aksi yang asalnya dijadual berlangsung di Qatar sebelum dipindahkan atas faktor logistik.

Sepanyol mencatat 25 percubaan ke arah gol, namun kurang suku daripadanya tepat ke sasaran, manakala penjaga gol Mesir, Oufa Shobeir turut cemerlang dengan beberapa aksi penyelamat penting.

“Ia mencetus rasa kecewa, kami mahu menang,” kata pemain tengah Sepanyol, Pedri.

“Mereka pasukan yang cuba bermain dan tanpa bola mereka cepat bertahan, jadi sukar untuk ditembusi.

“Kami perlu tingkatkan tempo permainan (di separuh masa kedua). Separuh masa pertama agak perlahan, separuh masa kedua lebih baik.

“Semua sudah tidak sabar menantikan Piala Dunia. Kini kami perlu fokus kepada kelab masing-masing dan menunggu kejohanan itu.”

Sepanyol mempamerkan peningkatan pada separuh masa kedua, namun ketika permainan berlanjutan, Mesir lebih selesa bertahan untuk memastikan keputusan seri kekal.

Shobeir sekali lagi cemerlang menafikan percubaan tepat Pedri 10 minit selepas rehat, manakala Ferran Torres mensia-siakan peluang apabila rembatannya tersasar walaupun berada dalam kedudukan baik.

Penjaga gol Sepanyol, Joan Garcia menerima reaksi bercampur ketika melakukan penampilan sulung antarabangsa sebaik dimasukkan selepas sejam permainan, susulan perpindahannya dari Espanyol ke seteru setempat Barcelona pada awal musim ini.

Sepanyol diundi dalam Kumpulan H Piala Dunia bersama Cape Verde, Arab Saudi dan Uruguay, manakala Mesir berada dalam Kumpulan G bersama Belgium, Iran dan New Zealand. – REUTERS