Indonesia akan bincang isu potong gaji menteri

JAKARTA: Indonesia sedang mempertimbangkan pemotongan gaji menteri sebagai sebahagian daripada langkah mengetatkan fiskal dan cadangan itu akan dibincangkan pada mesyuarat peringkat Kabinet dalam masa terdekat.

Menurut Agensi Berita ANTARA, Setiausaha Kabinet, Teddy Indra Wijaya berkata perkara itu masih pada peringkat perbincangan tanpa sebarang keputusan dibuat setakat ini.

“Tiada sebarang keputusan (berkenaan cadangan itu),” katanya pada Selasa.

Beliau juga menyatakan bahawa idea itu bukan berasal daripada pejabatnya.

Isu berkenaan meraih perhatian berikutan kenyataan Menteri Kewangan, Purbaya Yudhi Sadewa, yang sebelum ini berkata beliau tidak akan membantah langkah seperti itu, sambil menyatakan sebarang keputusan bergantung pada Presiden Prabowo Subianto.

Purbaya juga mencadangkan pengurangan sekitar 25 peratus, walaupun tiada angka rasmi ditetapkan.

Kenyataan beliau dibuat dalam konteks usaha meningkatkan kecekapan belanjawan termasuk kemungkinan pemotongan perbelanjaan merentas kementerian dan agensi.