AS, Iran setuju gencatan senjata dua minggu

WASHINGTON – Amerika Syarikat (AS) dan Iran bersetuju untuk melaksanakan gencatan senjata selama dua minggu pada petang Selasa selepas campur tangan diplomatik saat akhir yang dipimpin Pakistan.

Pengumuman Presiden Donald Trump itu dibuat kurang daripada dua jam sebelum tarikh akhir yang ditetapkan beliau sendiri iaitu jam 8 malam waktu Timur (kira-kira 8 pagi waktu Malaysia).

Menurut Trump, keputusan diambil selepas perbincangan dengan Perdana Menteri Pakistan, Asim Munir yang mana beliau bersetuju untuk menghentikan serangan yang dirancang, dengan syarat Iran membuka semula Selat Hormuz “sepenuhnya, serta-merta dan dengan selamat.

“Saya bersetuju untuk menggantung pengeboman dan serangan ke atas Iran bagi tempoh dua minggu.

“Ini akan menjadi gencatan senjata dua hala,” tulisnya di platform Truth Social miliknya.

Beliau menyatakan bahawa objektif ketenteraan Amerika Syarikat telah pun dicapai dan tempoh jeda dua minggu itu akan memberi ruang kepada kedua-dua pihak untuk memuktamadkan satu perjanjian yang komprehensif.

Keputusan itu sekali gus membatalkan ultimatum yang dikeluarkan beliau yang mendesak Iran untuk mematuhi syarat gencatan senjata atau berdepan kehancuran.
tempoh jeda dua minggu itu akan memberi ruang kepada kedua-dua pihak untuk memuktamadkan satu perjanjian yang komprehensif.

Terdahulu Trump mengancam untuk mengebom loji janakuasa dan jambatan di Iran, satu tindakan yang menurut sarjana undang-undang, pegawai dari pelbagai negara dan juga Pope, boleh dianggap sebagai jenayah perang.

Hanya beberapa jam sebelum itu, Trump menulis di platform Truth Social: “Satu tamadun akan musnah malam ini dan tidak akan dapat dipulihkan lagi.

“Saya tidak mahu perkara itu berlaku, tetapi kemungkinan besar ia akan berlaku.”

Media melaporkan, pesawat pengebom B-52 dilaporkan sedang dalam perjalanan ke Iran sebelum perjanjian gencatan senjata diumumkan.- MalaysiaGazette