20 subjek tersenarai global perkukuh kualiti akademik Taylor’s University

SUBANG JAYA: Kualiti program akademik Taylor’s University terus diperkukuh apabila 20 subjek yang ditawarkan berjaya tersenarai dalam QS World University Rankings by Subject 2026.

Pencapaian ini sekali gus merekodkan jumlah subjek tertinggi dalam kalangan universiti swasta di rantau Asia Tenggara.

Menerusi penarafan terbaharu itu, subjek Pengurusan Hospitaliti dan Rekreasi kekal menjadi tunjang kekuatan universiti tersebut apabila berada di kedudukan 26 teratas dunia.

Ia secara tidak langsung mengukuhkan lagi status Taylor’s University sebagai universiti terkemuka di Asia Tenggara bagi bidang berkenaan.

Selain kecemerlangan dalam bidang hospitaliti, subjek Seni dan Reka Bentuk serta Pemasaran turut menunjukkan prestasi membanggakan apabila tersenarai dalam kelompok 100 teratas di peringkat global.

Bagi bidang Pengajian Perniagaan dan Pengurusan pula, Taylor’s University berjaya mencatat kedudukan 150 teratas dunia.

Keputusan tahun ini juga menyaksikan perkembangan positif dalam kepelbagaian akademik universiti dengan penyertaan sulung tiga subjek baharu iaitu Undang-Undang, Sains Biologi serta Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris dalam senarai penarafan tersebut.

Kejayaan berterusan ini didorong oleh penekanan universiti terhadap pembelajaran berasaskan pengalaman yang membolehkan pelajar menangani cabaran industri dunia sebenar.

Antara inisiatif utama yang membuktikan keberkesanan model ini adalah Projek Pemulihan Warisan Lembah Lenggong yang diterajui Pusat Pengajian Hospitaliti, Pelancongan dan Acara (SHTE).

Pensyarah Kanan dan Pengarah Program Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Pelancongan Antarabangsa, SHTE, Dr Thanam Subramaniam (kedua dari kiri) menerima Anugerah Emas PATA 2025 bagi Inisiatif Pemeliharaan Warisan Budaya Terbaik untuk Projek Pemulihan Warisan Lembah Lenggong.

Projek tersebut baru-baru ini meraih kemenangan antarabangsa sebagai Inisiatif Pemuliharaan Warisan Budaya Terbaik di Pacific Asia Travel Association (PATA) Gold Awards 2025. 

Ia merupakan antara anugerah pelancongan paling berprestij di rantau Asia-Pasifik.

Inisiatif yang membabitkan seramai 28 pelajar daripada program Pelancongan dan Perhubungan Awam ini bertujuan memberi nafas baharu kepada Lembah Lenggong sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) di Perak, Majlis Daerah Lenggong, serta komuniti setempat, para pelajar telah merangka strategi bagi meningkatkan keterlihatan, menggalakkan penyertaan komuniti dan mempromosikan pelancongan mampan. 

Pihak industri dan komuniti meneroka pengalaman realiti maya (VR) yang memaparkan tapak warisan Lenggong.

Antara idea yang diketengahkan termasuk penceritaan warisan digital melalui penggunaan teknologi realiti maya 360° yang memaparkan gua dan tapak arkeologi di Lenggong.

Selain itu, mereka turut memperkenalkan model hab pelancongan komuniti yang memperkasakan penduduk tempatan serta merangka pelan tindakan Festival Kebudayaan Lenggong bagi meningkatkan penglibatan pelancong.

Projek Pemulihan Warisan Lembah Lenggong mencerminkan kebolehan Taylor’s University dalam mengekalkan prestasi cemerlang dalam QS Rankings.

Naib Canselor dan Presiden Taylor’s University, Profesor Barry Winn berkata, pengiktirafan meluas merentasi pelbagai bidang ini membuktikan kekuatan menyeluruh universiti dari segi kualiti dan keluasan penawaran akademik. 

“Taylor’s University kekal komited dalam menyediakan pendidikan berkualiti tinggi yang relevan dengan keperluan masa hadapan.”

“Ia dapat dibuktikan melalui kedudukan universiti yang berada di tangga ke-27 terbaik Asia,” katanya.

Pencapaian memberangsangkan ini turut disokong oleh ekosistem akademik yang utuh melalui kerjasama erat bersama pihak industri serta penerapan model pembelajaran yang inovatif seperti pembelajaran berasaskan pengalaman. 

Taylor’s University kini memberi penekanan terhadap gabungan pelbagai bidang ilmu dan pendekatan hibrid-fleksibel (HyFlex) serta strategi Digital First bagi melahirkan graduan yang berdaya saing dan mampu menyesuaikan diri dalam persekitaran global yang dinamik.

Untuk rekod, Taylor’s University kini memegang status sebagai universiti swasta bukan berkaitan kerajaan dengan kedudukan tertinggi di Asia Tenggara. 

Berada di tangga ke-253 dalam QS World University Rankings 2026, institusi ini kini tergolong dalam kelompok satu peratus universiti terbaik di dunia dengan rangkaian alumni melebihi 100,000 orang.