SEJAK bulan lalu, khususnya ketika krisis tenaga dan bahan api mula meningkat, kerajaan mula melihat langkah ideal bagaimana hendak mengurangkan beban kewangan negara dan meningkatkan kualiti hidup rakyat dalam mendepani ketidaktentuan geopolitik global.
Antara yang dibangkitkan ialah cadangan supaya penjawat awam bekerja dari rumah (BDR), termasuk menggalakkan majikan sektor swasta mengikut jejak sama bagi mengurangkan penggunaan bahan api serta tenaga.
Logik di sebalik langkah ini adalah bersifat pragmatik dan fiskal. Bagi kerajaan, pengurangan keperluan perjalanan harian bermakna penurunan langsung penggunaan petrol RON95 secara drastik.
Ini sangat kritikal memandangkan subsidi bahan api kini mencecah angka membimbangkan, iaitu sekitar RM3.2 bilion sebulan (RM2 bilion untuk petrol dan RM1.2 bilion untuk diesel) akibat lonjakan harga minyak dunia.
Dengan pelaksanaan BDR bersasar, kerajaan menjangkakan penjimatan subsidi signifikan, membantu mencapai sasaran penjimatan fiskal sekurang-kurangnya RM2.5 bilion setahun melalui inisiatif BUDI95. Dana ini boleh dialihkan untuk memperkasakan keperluan terdesak lain seperti hospital awam atau sekolah di pedalaman.
Terdapat persepsi BDR hanya ‘keistimewaan’ untuk penjawat awam. Namun, data menunjukkan sektor korporat termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) sebenarnya mendahului dalam transisi ini.
Kira-kira 67 peratus syarikat di Malaysia kini telah mewajibkan atau menawarkan pilihan BDR secara tetap. Bagi GLC dan GLIC, fleksibiliti ini sebahagian daripada mandat Alam Sekitar, Sosial, dan Tadbir Urus (ESG).
Dengan mengurangkan ruang pejabat fizikal, syarikat dapat menurunkan jejak karbon dan kos operasi seperti penyelenggaraan bangunan serta utiliti komersial.
Namun, bagi sektor kritikal seperti pembuatan, kesihatan dan perbankan, model hibrid lebih ketat tetap menjadi pilihan bagi memastikan rantaian bekalan dan perkhidmatan tidak terganggu.
BDR ketika era pandemik COVID-19 antara 2020-2022 adalah satu ‘trauma digital’ bagi ramai pekerja. Ia dilaksanakan tanpa persediaan mental dan infrastruktur mencukupi.
Data menunjukkan ramai pekerja mengalami penurunan produktiviti sehingga 77 peratus pada fasa awal disebabkan gangguan persekitaran rumah dan kelajuan internet tidak stabil.
Masalah utama pada waktu itu adalah budaya pengurusan masih lapuk yang mana majikan merasakan kehadiran fizikal adalah satu-satunya kayu ukur prestasi kerja.
Akibatnya, timbul fenomena kelesuan (burnout) kerana pekerja terpaksa sentiasa bekerja bagi membuktikan mereka produktif.
Garis panduan baharu JPA
Kini, pendekatan kerajaan melalui Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) lebih matang. Garis panduan baharu menekankan kepada pengurusan berasaskan output.
Bagaimanapun, sudut pandang jarang dibincangkan adalah bagaimana BDR sebenarnya memindahkan kos operasi syarikat ke bahu pekerja.
Apabila bekerja di pejabat, majikan membayar bil pendingin hawa dan internet. Apabila BDR, penjimatan petrol sering kali diserap semula akibat kenaikan bil elektrik rumah terutama dalam cuaca panas. Internet yang dahulunya hanya untuk hiburan kini menjadi alat mencari cari rezeki wajib dibayar sendiri.
Jika kerajaan ingin menjayakan BDR secara total, pelepasan cukai gaya hidup harus ditingkatkan merangkumi kos utiliti rumah digunakan untuk tujuan kerja.
Kita juga perlu memikirkan ‘ekonomi kaki lima’ yang menjadi nadi kepada kumpulan B40. Peniaga nasi lemak, pengusaha kantin dan kedai makan di kawasan pejabat, serta kedai runcit di pusat bandar bergantung sepenuhnya pergerakan manusia.
Jika jutaan pekerja berhenti ke pejabat secara drastik, rantaian ekonomi ini akan lumpuh. Kerajaan perlu memikirkan penyelesaian menggalakkan pembangunan ekonomi di kawasan perumahan.
Aspek keadilan kos perlu dilihat sebagai satu bentuk pelarasan tanggungjawab fiskal antara majikan dan pekerja. Apabila pejabat dikosongkan, majikan menikmati penjimatan sewa ruang, penyelenggaraan fasiliti dan bil utiliti komersial tinggi.
Tidak adil jika penjimatan ini dibayar pekerja melalui kenaikan bil elektrik domestik dan penyediaan peranti secara sendirian.
Majikan perlu mempertimbangkan penyediaan elaun utiliti atau peralatan pejabat di rumah bagi memastikan kualiti kerja tidak terjejas. Langkah ini bukan sahaja adil, malah bertindak sebagai pelaburan memastikan kelengkapan digital pekerja sentiasa berada pada tahap optimum, selaras amalan global.
Kesejahteraan mental melalui dasar Hak Menamatkan Sambungan bagi mengelakkan krisis kesihatan mental nasional. Dalam model BDR, kecenderungan bekerja melampaui waktu pejabat sering berlaku kerana ketiadaan sempadan fizikal antara ruang tamu dan ruang kerja.
Kontrak sosial baharu ini harus menetapkan selepas waktu bekerja, pekerja berhak tidak menjawab e-mel atau mesej aplikasi media sosial berkaitan kerja tanpa rasa takut dikenakan tindakan tatatertib.
Dengan menghormati masa rehat pekerja, majikan membina tenaga kerja lebih segar, kreatif dan kurang berisiko mengalami keleusan yang pada akhirnya meningkatkan produktiviti jangka panjang organisasi.
Pelan sokongan ekonomi mikro lebih strategik juga amat perlu. Apabila corak mobiliti manusia berubah daripada pusat bandar ke kawasan kediaman, dasar zon perniagaan pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu lebih fleksibel. Tidak boleh lagi mengehadkan perniagaan kecil hanya beroperasi di premis komersial.
Sebaliknya, kerajaan harus memudahkan lesen perniagaan mikro bagi usahawan di kawasan kediaman seperti dapur komuniti atau hab penghantaran setempat supaya ekonomi B40 dapat beralih arah dan berkembang di dalam ekosistem komuniti setempat.
BDR bukan sekadar menjimatkan subsidi petrol atau mengelakkan kesesakan jalan raya. Ia menyentuh evolusi cara hidup dan bekerja sebagai bangsa moden dalam dunia penuh dengan cabaran geopolitik.
Kejayaan BDR tidak patut diukur pada berapa banyak kenderaan berkurang di lebuh raya atau penjimatan fiskal negara semata-mata, tetapi berapa banyak masa dapat dipulangkan kepada rakyat untuk bersama keluarga, sambil memastikan roda ekonomi negara terus berputar dengan lebih cekap dan mampan.
Penulis adalah Ketua Pegawai Operasi, Institut Masa Depan Malaysia (MASA)

