KAJANG: Seorang penunggang motosikal yang terbabit kemalangan dengan sebuah motosikal lain, maut digilis treler di Lebuhraya SILK menghala ke Semenyih petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yussof, berkata kemalangan berlaku pada kira-kira jam 6.30 petang di Kilometer 21.7 lebuh raya berkenaan apabila motosikal mangsa melanggar bahagian belakang sebuah lagi motosikal.
“Impak pelanggaran itu menyebabkan mangsa yang juga guru swasta hilang kawalan lalu terjatuh ke jalan dan kemudian digilis treler yang datang dari arah sama kerana pemandunya tidak menyedari kejadian itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Naazron berkata, mangsa yang berusia 25 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala dan badan.
“Penunggang dan pembonceng motosikal yang satu lagi serta pemandu treler tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat pemanduan melulu atau berbahaya, yang sabit kesalahan boleh dipenjara antara lima hingga 10 tahun serta denda antara RM20,000 hingga RM50,000.
Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi Inspektor Nur Faezah Mohd Zakria menerusi talian 012-3268496,” katanya.

