Kenderaan guna petrol terus jadi pilihan dengan sokongan subsidi BUDI95

KUALA LUMPUR: Dinamik harga bahan api kekal sangat relevan kepada sebahagian besar pengguna apabila kenderaan penumpang berkuasa petrol terus menguasai pasaran pada kadar 85 peratus, diikuti diesel (enam peratus), hibrid (empat peratus) dan kenderaan elektrik (EV) sebanyak lima peratus berdasarkandata pendaftaran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi tahun kewangan 2025.

Pengguna petrol pasaran massa yang layak menerima subsidi BUDI95 terus menikmati harga siling RM1.99 seliter, sekali gus mengekalkan kos operasi jangka pendek pada tahap stabil sekiranya penggunaan kekal dalam kuota ditetapkan.

Walaupun Kementerian Kewangan (MoF) mengurangkan kuota kepada 200 liter sebulan berkuat kuasa 1 April lalu, impaknya dijangka minimum memandangkan purata penggunaan hanya sekitar 100 liter sebulan, dengan hampir 90 peratus pengguna berada di bawah had baharu itu.

Sebaliknya, pengguna petrol tanpa subsidi termasuk pengguna RON97 serta mereka yang melebihi kuota berdepan peningkatan ketara kos bahan api, sekali gus mengubah corak permintaan dalam pasaran automotif.

Penganalisis MBSB Research, Amalia Zarir, berkata keadaan itu dijangka mempercepatkan peralihan pengguna kepada kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE) yang lebih cekap bahan api, hibrid plug-in (PHEV) serta EV khususnya bagi pengguna dengan jarak perjalanan tinggi.

“Dalam segmen premium pula, pengguna dijangka lebih cenderung memilih enjin lebih kecil dan model yang lebih cekap bagi mengimbangi peningkatan kos bahan api,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Dalam perkembangan berkaitan, jumlah keseluruhan industri (TIV) pada Februari mencatatkan 52,414 unit, susut 18.5 peratus bulan ke bulan berikutan faktor bermusim termasuk jumlah hari bekerja lebih rendah serta penutupan kilang selama seminggu ketika Tahun Baharu Cina.

Bagaimanapun, prestasi kumulatif dua bulan pertama tahun ini kekal stabil dengan peningkatan marginal 0.8 peratus tahun ke tahun kepada 116,712 unit, disokong jualan kukuh pada Januari hasil pelancaran model baharu pada hujung tahun lalu.

Prestasi itu mewakili 15 peratus daripada unjuran penuh tahun sebanyak 788,000 unit, yang dijangka mencatat penurunan 4.0 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Dalam segmen kenderaan penumpang, TIV meningkat sedikit kepada 109,117 unit dalam tempoh dua bulan pertama, didorong pertumbuhan 10 peratus jenama nasional yang dipacu oleh PROTON.

Sebaliknya, segmen bukan nasional mencatatkan penurunan ketara 21.2 peratus tahun ke tahun, terutamanya disebabkan kelemahan jualan Honda yang merosot 41.4 peratus serta Toyota yang turun 28.5 peratus.

Amalia berkata, secara keseluruhan, jualan dijangka bertambah baik pada Mac, disokong musim perayaan Hari Raya Aidilfitri.

Dari sudut prestasi pengeluar utama, PERODUA merekodkan 24,530 unit pada Mac 2026, menjadikan jumlah terkumpul kepada 74,233 unit, manakala PROTON mencatatkan 15,243 unit bagi bulan sama.

Ini membawa jumlah keseluruhan PROTON kepada 48,440 unit atau 24 peratus daripada sasaran tahunan 200,000 unit.

Honda pula mencatatkan jumlah terkumpul 13,618 unit dalam suku pertama 2026, bersamaan 23 peratus daripada sasaran tahunannya sebanyak 60,000 unit, manakala Toyota merekodkan 22,208 unit dalam tempoh sama.

Dalam segmen EV, PROTON muncul sebagai peneraju dengan jualan 8,197 unit dalam suku pertama 2026, dengan 82 peratus disumbang oleh model e.MAS 5.

Mengulas prospek sektor, Amalia berkata, MBSB Research mengekalkan unjuran TIV tahun penuh 2026 pada 788,000 unit, sejajar jangkaan penguncupan empat peratus tahun ke tahun selepas mencatatkan pertumbuhan selama empat tahun berturut-turut.