Rai menang acara Par-3 Masters, tidak hirau ‘sumpahan’

AUGUSTA: Pemain England, Aaron Rai mencuri tumpuan apabila menjuarai acara Par-3 di Masters sekali gus berdepan “sumpahan” unik kejohanan berkenaan.

Rai mencatat enam bawah par 21 selepas melakukan birdie pada dua lubang terakhir untuk mengatasi cabaran pemain Amerika Syarikat, Jacob Bridgeman, yang terikat dengannya sebelum lubang terakhir.

Bagaimanapun, kemenangan itu hadir dengan sejarah kurang menyenangkan apabila tiada pemenang acara Par-3 pernah memenangi jaket hijau Masters pada tahun sama.

“Saya tidak pasti sama ada ini petanda baik atau tidak, tetapi sangat gembira dapat bermain dengan baik dan berkongsi pengalaman ini bersama keluarga,” kata Rai.

Rai turut memuji isterinya, Gaurika, yang bertindak sebagai pembantu (caddie) dan membantu membaca garisan pukulan putt sepanjang pertandingan.

“Pengalaman ini luar biasa. Saya tidak jangka bermain sebaik ini, tetapi isteri saya sangat membantu. Dia membaca pukulan saya dan kami bekerjasama dengan baik,” katanya.

Acara Par-3 yang berlangsung di Augusta National Golf Club terkenal dengan suasana santai berbanding kejohanan utama, dengan ahli keluarga termasuk kanak-kanak turut mengambil bahagian sebagai caddie.

Pemain nombor satu dunia, Scottie Scheffler, berkata acara itu memberi peluang kepada pemain untuk berehat daripada tekanan kejohanan utama.

“Kejohanan utama boleh menjadi sangat tertekan, jadi peluang seperti ini untuk bersama keluarga dan berseronok amat bermakna,” kata Scheffler.

Sementara itu, juara bertahan, Rory McIlroy, menyifatkan acara itu sebagai antara yang paling menyeronokkan dalam kalendar golf.

“Kami datang ke sini untuk berseronok dan menikmati salah satu acara paling unik dalam golf,” kata McIlroy.

Sebanyak empat hole-in-one direkodkan dalam edisi kali ini, menambah jumlah keseluruhan kepada 115 sejak acara itu diperkenalkan pada tahun 1960.