Ruang fiskal Indonesia bertahan walaupun harga minyak dunia meningkat – Bank Dunia

JAKARTA: Indonesia masih mempunyai ruang fiskal yang mencukupi selepas membuat keputusan untuk mengekalkan harga bahan api bersubsidi tidak berubah sehingga akhir tahun, walaupun harga minyak global meningkat berikutan konflik di Asia Barat.

Ketua Pakar Ekonomi Asia Timur dan Pasifik Bank Dunia, Aaditya Mattoo, berkata kedudukan fiskal Indonesia kekal agak kukuh, dengan defisit 2025 di bawah tiga peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan hutang kerajaan pada sekitar 40 peratus daripada KDNK.

“Indonesia menunjukkan kecenderungan ke arah fiskal yang berhemat dan dengan itu mempunyai kapasiti untuk terus memberikan sokongan melalui subsidi tenaga, secara tersirat dan tersurat,” katanya, lapor Agensi Berita ANTARA semalam.

Bagaimanapun, Aaditya menegaskan bahawa subsidi harus disasarkan dengan lebih baik bagi menjangkau kumpulan berpendapatan rendah serta segmen kelas pertengahan yang terdedah.

Beliau berkata, sokongan juga perlu diberikan kepada perniagaan kecil dan sebahagian daripada segmen perusahaan sederhana untuk mengurangkan tekanan ekonomi, sambil menggesa penambahbaikan dalam mekanisme penyampaian subsidi bagi mengelak beban fiskal jangka panjang yang berlebihan.

“Reka bentuk subsidi yang lebih disasarkan akan mengurangkan risiko fiskal dan menghalang tekanan jangka panjang yang boleh membantutkan pemulihan ekonomi,” katanya.

Pada 6 April, Menteri Kewangan, Purbaya Yudhi Sadewa, memberi jaminan bahawa harga bahan api bersubsidi akan kekal tidak berubah sehingga akhir tahun, sambil menyatakan bahawa kerajaan telah mengira daya tahan belanjawan negara di bawah pelbagai senario harga minyak.

Purbaya berkata, Indonesia juga mempunyai penampan tambahan di luar belanjawan negara, termasuk dana lebihan belanjawan (SAL) kira-kira Rp420 trilion, dengan Rp200 trilion ditempatkan di bank, serta hasil negara bukan cukai daripada sektor tenaga dan sumber mineral.