KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan reman seorang penjawat awam dan seorang pengarah syarikat kerana disyaki memberi dan menerima rasuah kira-kira RM500,000 sebagai balasan tidak mengambil tindakan berkaitan dengan kesalahan pengisytiharaan pembelian minyak subsidi.
Perintah reman selama empat hari sehingga 11 April 2026 terhadap kedua-dua suspek telah dikeluarkan Majistret Ezrene Zakariah selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.
Menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki berusia lingkungan 30 dan 40-an telah ditahan kira-kira 8.50 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.
“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek disyaki bersubahat melakukan perbuatan tersebut sekitar April 2024. Kedua-dua suspek dipercayai telah memberi dan menerima wang rasuah secara tunai dan berperingkat,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Kanan (Kawalan dan Penyelarasan Operasi) Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Yuhafiz Mohd Salleh ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette

