Jenazah Prebet Muhammad Amirul dikebumi di Gemas

KUALA LUMPUR: Jenazah anggota tentera, Prebet Muhammad Amirul Raziq Rosafindi yang meninggal dunia hari ini selepas dipercayai dipukul anggota berpangkat koperal bulan lalu, akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Felda Sungai Kelamah, Gemas, Negeri Sembilan.

Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam satu kenyataan memaklumkan jenazah anggota dari Batalion 25 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Bentong itu, akan dibawa pulang ke Gemas sebaik selesai proses bedah siasat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh, Pahang.

Menurut kenyataan itu Muhammad Amirul, 24, disahkan meninggal dunia pada 9.40 pagi tadi selepas berada dalam keadaan koma sejak 30 Mac, ketika menerima rawatan di HoSHAS akibat dikasari oleh seorang anggota berpangkat koperal.

“Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Datuk Azhan Md Othman serta seluruh warga TDM merakamkan ucapan takziah kepada waris dan seluruh ahli keluarga Allahyarham serta turut berdukacita di atas kehilangan seorang warganya.

“TDM memohon semua pihak menghormati perasaan serta privasi keluarga Allahyarham dalam menghadapi detik sukar ini dan tidak mengeluarkan sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan,” menurut kenyataan itu.

Allahyarham Muhammad Amirul dilaporkan tidak sedarkan diri dan menerima rawatan rapi di hospital berikutan kecederaan parah yang dialami susulan insiden pukul di Kem Batalion 25 RAMD, Bentong.

Kejadian itu dilaporkan berpunca daripada tindakan seorang anggota Pegawai Tidak Tauliah (PTT) Rendah berusia 37 tahun yang didakwa menggunakan kekerasan akibat tidak berpuas hati berhubung penugasan yang diarahkan.