Tuju Setia raih kontrak pembinaan RM359.3 juta

KUALA LUMPUR: Anak syarikat milik penuh Tuju Setia Bhd, Pembinaan Tuju Setia Sdn Bhd, memperoleh kontrak pembinaan projek kediaman bertingkat tinggi bernilai RM359.3 juta daripada Sime Darby Property Bhd.

Syarikat itu dilantik sebagai kontraktor utama bagi melaksanakan pembinaan Ara Bloc Residences yang terletak di Ara Damansara, Selangor.

Pengarah Urusan Tuju Setia, Wee Eng Kong, berkata kontrak baharu itu meningkatkan nilai perolehan kontrak tertunggak kumpulan ke paras tertinggi baharu sebanyak RM2.4 bilion, sekali gus memberikan keterlihatan pendapatan yang kukuh sehingga 2029.

“Projek ini dijadualkan siap dalam tempoh 40 bulan dengan tarikh bermula pada 21 April, 2026,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Wee berkata, kontrak berkenaan turut menandakan pencapaian penting bagi tahun kewangan 2026 ketika kumpulan itu giat membida pelbagai projek pembangunan meliputi hospital, kediaman bertingkat tinggi serta bangunan industri.

“Memandangkan beberapa projek sedia ada kini hampir siap sepenuhnya, kami berada dalam kedudukan strategik dengan kapasiti tersedia untuk mengambil lebih banyak projek bagi mengekalkan momentum pertumbuhan,” katanya.

Mengulas mengenai konflik Asia Barat yang berlarutan serta potensi kesannya terhadap harga komoditi global, beliau menegaskan keutamaan syarikat kekal tertumpu kepada pelaksanaan projek yang berjaya di samping mengekalkan kecemerlangan sebagai teras identiti Tuju Setia.

– BERNAMA