JASIN: Wanita yang terbabit dalam video tular diriba pemandu bas memberi alasan melakukan perbuatan itu kerana teruja dan minat untuk memandu bas.
Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Lee Robert, berkata siasatan awal mendapati wanita berusia 21 tahun itu yang juga teman wanita kepada pemandu berusia 36 tahun membuat pengakuan berkenaan ketika hadir memberi keterangan hari ini.
Beliau berkata, wanita berasal dari Kedah yang bekerja sebagai kerani kaunter tiket bas di syarikat berasingan memaklumkan dia berkenalan dengan lelaki berasal dari Kuala Lumpur itu sejak lima bulan lalu.
Katanya, kedua-dua mereka diambil keterangan kira-kira dua jam dan ditahan hari ini sebelum permohonan reman akan dibuat di Mahkamah Majistret Jasin esok.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Berdasarkan pengakuan lisan, lelaki yang mempunyai pengalaman 10 tahun sebagai pemandu bas memaklumkan insiden itu berlaku dalam tempoh beberapa minit sebelum memasuki laluan utama lebuh raya,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Terdahulu, pemandu bas ekspres yang meriba seorang wanita ketika memandu pada Ahad lalu, seperti dalam rakaman video tular di media sosial, hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin untuk memberi keterangan petang tadi.
Lelaki itu tiba di pekarangan IPD Jasin kira-kira jam 4.30 petang bersama wanita terbabit dengan menaiki sebuah Proton Persona dipandu individu lain dipercayai ahli keluarga.
Kedua-duanya mereka dilihat memakai pelitup muka dipercayai bagi membantu siasatan insiden yang mencetuskan kebimbangan orang ramai terhadap aspek keselamatan penumpang bas ekspres.
Ketika kejadian, bas itu dalam perjalanan dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur ke Larkin, Johor Bahru.
Menerusi video tular berdurasi lapan saat itu, pemandu bas berkenaan dilihat meriba wanita terbabit ketika memandu ke susur masuk kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Bemban, Jasin arah selatan kira-kira jam 7.30 malam, Ahad lalu.

