JASIN – Pemandu bas ekspres yang tular memandu sambil meriba seorang wanita Ahad lalu memberi alasan kekasihnya itu teringin membawa bas sebelum dia bertindak demikian.
Ketua Polis Daerah Jasin, Superintenden Lee Robert berkata, itu pengakuan awal lelaki berusia 36 tahun itu dan kekasihnya berusia 21 tahun ketika pasangan itu dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin bagi memberi keterangan petang tadi.
Menurutnya, siasatan awal mendapati, lelaki terbabit memberitahu kekasihnya itu berusia 21 tahun amat meminati bas dan teringin membawa pengangkutan awam itu sebelum dia meribanya.
“Ketika kejadian, terdapat kira-kira 20 penumpang namun suspek mengakui perbuatan itu dilakukan dalam tempoh yang singkat di kawasan susur masuk R&R Bemban, Jasin arah selatan sebelum masuk ke laluan utama lebuh raya.
“Siasatan awal mendapati, suspek wanita berusia 21 tahun yang bekerja sebagai kerani kaunter tiket bas syarikat lain dan telah mengenali lelaki terbabit sejak lima bulan lalu,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Terdahulu, pasangan itu tiba bersama di Ibu Pejabat Polis Daerah Jasin kira-kira jam 4.30 petang tadi menaiki sebuah kereta Proton Persona.
Mengulas lanjut, Lee berkata, siasatan juga mendapati suspek lelaki yang berasal dari ibu negara itu sudah memandu bas selama 10 tahun dan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.
“Selepas merakamkan keterangan kedua-dua suspek selama kira-kira dua jam, mereka ditahan untuk dibawa Mahkamah Majistret Jasin pada esok bagi mendapatkan permohonan reman.
“Ini bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 42(1) Akta pengangkutan jalan (APJ) 1987,” katanya. – MalaysiaGazette

