KUALA LUMPUR: Skuad bawah 16 (B-16) tahun negara berpeluang membalas dendam kekalahan 0-4 pada peringkat kumpulan di tangan Vietnam selepas kedua-dua pasukan akan berentap di final Kejuaraan B-17 ASEAN di Gelora Delta Sidoarjo, esok.
Skuad bimbingan Shukor Adan mara ke final selepas mengetepikan Laos 3-0 manakala Vietnam menyingkirkan juara bertahan, Australia dengan keputusan 2-1.
Ini pertembungan pertama kedua-dua pasukan di pentas B-17 AFF namun Vietnam layak ke final buat kali kelima sementara Malaysia mara ke final buat kali ketiga.
Di atas kertas, Vietnam jelas tampil sebagai pasukan pilihan terutamanya berdasarkan prestasi mereka yang belum tewas sepanjang kempen di Surabaya itu.
Mereka tampil sebagai pasukan paling berbisa dengan 16 gol dijaringkan dan rekod pertahanan mereka juga begitu mantap apabila hanya melepaskan satu gol setakat ini.
Sebagai perbandingan, skuad Harimau Malaya B-16 yang dibarisi 21 pemain berusia 16 tahun dan dua pemain berusia 15 tahun meledak enam gol dan dibolosi sebanyak empat kali – semuanya pada pertembungan pertama menentang Vietnam.
Justeru, barisan pertahanan negara jelas perlu berhati-hati dengan kelibat pemain Vietnam seperti Nguyen Van Duong, Chu Ngoc Nguyen Loc, Nguyen Manh Cuong dan juga Le Sy Bach.
Empat gandingan ini menghasilkan 12 gol buat Vietnam dengan Van Duong dan Nguyen Loc masing-masing menghimpun empat jaringan setakat ini.
Namun, Malaysia seakan memiliki tuah pada Kejuaraan B-17 ASEAN kerana setiap kali layak ke final, skuad negara akan pulang sebagai juara.
Skuad negara layak ke final buat kali pertama dalam tempoh tujuh tahun selepas kali terakhir pada 2019 di mana mereka mengesahkan kejuaraan kedua selepas menewaskan tuan rumah, Thailand.
Begitu juga ketika mereka mara buat kali pertama di final edisi 2013 di Myanmar, mereka merangkul kejuaraan sulung dengan menewaskan Indonesia.

