PUTRAJAYA: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim akan memilih Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu bagi menerajui suruhanjaya berkenaan.
Baginda bertitah, jawatan berkenan amat penting dalam memastikan SPRM terus berperanan secara berkesan sebagai institusi utama negara dalam membanteras rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.
“Saya akan menentukan siapa calon terbaik untuk menerajui SPRM selepas ini,” titahnya kepada Royal Press Office (RPO) seperti dikongsikan di akaun Facebook rasmi baginda, sebentar tadi.
Justeru, baginda bertitah dan menegaskan tiada keperluan untuk mana-mana pihak mempolitikkan perkara berkenaan.
Kontrak Tan Sri Azam Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM dijadualkan tamat pada 12 Mei 2026, dan menurut beberapa sumber, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memberi jaminan bahawa kontrak tersebut tidak akan disambung.
Tarikh & Status Kontrak
Tarikh tamat kontrak semasa: 12 Mei 2026
Sejarah lanjutan kontrak:
12 Mei 2023 – 11 Mei 2024
12 Mei 2024 – 12 Mei 2025
13 Mei 2025 – 12 Mei 2026
Azam telah dilantik semula sebanyak tiga kali berturut-turut, setiap kali untuk tempoh setahun.
Jawatan Azam menjadi perhatian umum kerana SPRM menjadi badan penguatkuasaan utama negara dalam pembanterasan rasuah serta pemulihan aset negara yang hilang akibat penyelewengan besar-besaran.

