KUCHING: Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) hari ini berjaya mengenal pasti lokasi wanita warga Australia yang dipercayai terjatuh ke dalam gaung di Gunung Santubong, semalam.
Belinda Lapier dilaporkan berada dalam kesukaran kerana dipercayai terjatuh ke dalam gaung selepas tersasar dari laluan pendakian asal di kawasan F7 gunung itu.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pasukan operasi dapat berkomunikasi dengan mangsa dengan memanggil namanya, kira-kira jam 10.30 pagi tadi.
“Pasukan SAR kini sedang membuat penilaian lokasi yang sesuai untuk menurunkan anggota penyelamat. Kecerunan gaung itu dianggarkan 90 darjah dan terdapat banyak halangan batu-batu serta pokok-pokok besar yang menyukarkan operasi menyelamat,” katanya.
Terdahulu, JBPM menerima panggilan kecemasan berhubung insiden pada jam 8.20 malam tadi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya digerakkan ke lokasi, kira-kira 22 kilometer dari balai.
Setiba di kaki gunung pada jam 9.43 malam, renjer hutan memaklumkan mangsa dipercayai terjatuh ketika menuruni gunung.
Difahamkan pada jam 5 petang semalam, mangsa berjaya dihubungi dan suaranya dapat didengar, namun kedudukan sebenar gagal dikesan.
Operasi SAR kemudian dijalankan di sekitar kawasan F7 dengan kerjasama polis dan renjer hutan, namun pencarian awal sehingga jam 12.15 tengah malam tadi gagal menemukan wanita itu sebelum operasi dialih ke kawasan kebun berhampiran.
Mangsa berjaya dihubungi semula dan memberikan lokasi terkini pada jam 12.48 tengah malam.
Berikutan itu lima anggota bomba bersama lima renjer hutan dan seorang anggota polis bergerak ke lokasi mangsa melalui laluan off-trail selepas dipercayai mangsa tersasar dari trek asal.
Bagaimanapun, usaha menyelamat berdepan cabaran apabila pasukan SAR terpaksa melalui laluan sukar dengan halangan batu besar serta pokok tumbang, selain keadaan gelap sebelum ditangguhkan pada jam 3.30 pagi dan disambung semula pada jam 8.30 pagi tadi.
SUMBER : TV3
Baik, baik ada makna tu..

