Alor Gajah: Lima individu maut dalam kemalangan berasingan yang berlaku selang kira-kira sejam di Jalan Felda Hutan Percha dan Jalan Lendu, di sini, kelmarin.
Nahas pertama berlaku kira-kira jam 3.40 petang mengorbankan tiga nyawa termasuk pelajar kolej apabila kereta dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori di Jalan Felda Hutan Percha.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ahmad Abu Bakar berkata, kemalangan membabitkan Honda City dan lori ‘rigid’ itu dipercayai berlaku apabila kereta terbabit hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan.
“Kereta berkenaan yang dinaiki empat individu dan dalam perjalanan dari arah Melaka menghala ke Segamat dipercayai terbabas sebelum bertembung dengan lori dari arah Tebong ke Cheng
“Seorang penumpang belakang kanan iaitu lelaki berusia 24 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan bertugas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, dua lagi mangsa lelaki iaitu penumpang berusia 24 tahun dan pemandu berusia 23 tahun meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Melaka masing-masing pada jam 12.45 tengah malam dan 10.20 pagi semalam.
“Seorang lagi penumpang wanita berusia 23 tahun yang juga penuntut universiti awam masih dirawat di hospital sama, manakala pemandu lori berusia 59 tahun serta kelindannya berusia 28 tahun cedera dan menerima rawatan di Hospital Tampin, Negeri Sembilan,” katanya.
Sementara itu, nahas kedua berlaku kira-kira jam 4.40 petang di Jalan Lendu, mengorbankan dua lelaki selepas motosikal Yamaha YZF dinaiki melanggar Perodua Viva yang membelok secara mengejut.
Menurut Ahmad, siasatan awal mendapati kedua-dua kenderaan bergerak dari arah sama, iaitu dari Alor Gajah menuju ke Masjid Tanah.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu kereta membelok ke kanan secara tiba-tiba tanpa memastikan keadaan selamat.
“Akibatnya, motosikal dari arah belakang gagal mengelak lalu melanggar bahagian sisi kanan kereta terbabit,” katanya.
Pelanggaran itu katanya, menyebabkan penunggang yang juga anggota tentera berusia 23 tahun dan pembonceng berusia 28 tahun tercampak ke laluan bertentangan dan disahkan maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.
“Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat dan sampel darah akan diambil bagi tujuan ujian toksikologi.
“Pemandu serta penumpang kereta Perodua Viva yang juga pasangan suami isteri berusia 64 dan 62 tahun cedera dan dirawat di hospital sama,” katanya.
Ahmad berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan semua kenderaan terbabit ditahan untuk dibawa menjalani pemeriksaan teknikal di Puspakom.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian atau rakaman kamera papan pemuka diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Nurul Salina Rosli di talian 011-25435507 atau ke balai polis berhampiran.
SUMBER : HARIAN METRO
Baik, baik ada makna tu..

