Suspek pukul isteri hingga parah pernah kahwin 9 kali, sasar penjawat awam

ALOR SETAR – Latar belakang lelaki yang disyaki memukul isterinya hingga parah dan keguguran di Sungai Petani terungkai apabila siasatan polis mengesan beberapa rekod kes hampir sama, selain suspek cenderung menyasarkan wanita penjawat awam.

Memetik laporan yang dimuat naik Polis Kedah di Facebook hari ini, suspek berusia 43 tahun itu dipercayai masih mempunyai tiga isteri, manakala perkahwinan terbaharunya dengan mangsa dilaksanakan di Selatan Thailand.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah dilaporkan berkata, suspek juga dipercayai mempunyai modus operandi menyasarkan wanita yang mempunyai pekerjaan tetap, khususnya dalam kalangan penjawat awam.

“Majoriti pasangan suspek adalah wanita bekerja tetap, kebanyakannya kakitangan kerajaan. Malah, semakan turut mendapati suspek mempunyai beberapa rekod jenayah lampau yang kebanyakannya melibatkan kes keganasan terhadap isteri dan teman wanita.

“Antara kes direkodkan termasuk di bawah Seksyen 325, 323 dan 506 Kanun Keseksaan, manakala satu lagi kes pada 2018 berkaitan perbuatan menyembunyikan kelahiran.

“Manakala kes terdahulu melibatkan kejadian mencederakan isteri di Johor Bahru pada 2021 yang membawa kepada hukuman penjara 10 tahun itu kini masih dalam proses rayuan,” katanya kepada pemberita hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Adzli mengesahkan suspek berjaya ditahan pada jam 4.45 petang semalam di sebuah rumah inap di sini, selepas dipercayai bersembunyi.

Katanya, lolis turut merampas sebuah kenderaan jenis Mercedes-Benz, empat telefon bimbit serta beberapa objek dipercayai digunakan dalam kejadian.

“Dari segi perkembangan mangsa, wanita berusia 39 tahun yang juga penjawat awam itu dipercayai menjadi mangsa penderaan berulang sejak beberapa bulan lalu.

“Mangsa mengalami kecederaan serius termasuk patah tulang rusuk kiri dan kanan serta tulang belakang, selain mendakwa mengalami keguguran akibat dipukul.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta denda atau sebatan jika sabit kesalahan,” katanya. – MalaysiaGazette