KUALA LUMPUR – Seorang penumpang wanita maut manakala pemandunya cedera selepas kereta dinaiki terbabit melanggar belakang sebuah bas yang diparkir di tepi jalan di Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dekat Layang-Layang di sini awal pagi tadi.
Dalam kejadian 2.30 pagi itu, mangsa yang maut berusia 26 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian dada.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur (JSPTKL), Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pukul 4.53 pagi.
“Siasatan awal mendapati, kemalangan membabitkan sebuah kereta jenis Proton Persona yang dipandu lelaki tempatan berusia 31 tahun bersama tunangnya.
“Ketika kejadian, kenderaan itu dipercayai bergerak di lorong kiri sebelum pemandunya disyaki gagal mengawal kenderaan terbabit lalu terbabas ke bahu kiri jalan.
“Kereta itu kemudian melanggar bahagian belakang sebuah bas sekolah antarabangsa jenis Hino yang diparkir di tepi jalan tampa sebarang papan tanda,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, bas berkenaan diletakkan di lokasi tersebut kerana pemandunya tinggal berhampiran kawasan kejadian.
“Akibat kejadian itu, pemandu kereta mengalami kecederaan di bahagian kepala dan kini menerima rawatan di wad kecemasan dan trauma di Hospital Selayang.
“Semakan lanjut, punca kemalangan masih dalam siasatan namun dipercayai pemandu gagal mengawal kenderaan disyaki akibat mengantuk.
“Manakala mayat wanita itu telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk proses bedah siasat,” jelasnya.
Beliau memaklumkan, sampel darah pemandu turut diambil bagi ujian toksikologi manakala kedua-dua kenderaan terlibat dibawa ke stor barang kes untuk pemeriksaan lanjut.
Mohd Zamzuri menambah, kes terbabit disiasat dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette
