Gambar tangkapan ‘scammer’ dikaitkan dengan pimpinan PHRS

TAWAU: Dua laporan polis dibuat terhadap seorang pemilik akaun Facebook selepas didakwa memuat naik hantaran berunsur fitnah yang mengaitkan beberapa kes tangkapan polis dengan pucuk pimpinan Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) semalam.

Laporan dibuat oleh Ketua Wanita PHRS, Norazian Dumit, dan Ahli Majlis Tertinggi PHRS, Jany Sahak, sekitar 2.30 petang di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, selepas mendakwa hantaran berkenaan berunsur fitnah, berniat jahat dan tidak berasas serta boleh menjejaskan imej kepimpinan parti.

Menurut Norazian, beliau menyedari kewujudan hantaran itu ketika melayari laman Facebook⁠ malam tadi dan mendapati ia memaparkan gambar pucuk pimpinan parti bersama imej tangkapan polis dan prosiding mahkamah.

Beliau berkata, tindakan menggabungkan imej pemimpin parti dengan gambar berkaitan kes jenayah adalah satu bentuk dakwaan tidak berasas yang boleh menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat.

Sementara itu, Jany menyifatkan penyebaran hantaran berkenaan sebagai tidak bertanggungjawab dan boleh mengundang salah faham dalam kalangan orang ramai terhadap individu dalam parti serta gabungan politik di negeri ini.

Menurutnya, PHRS sebelum ini mengambil pendekatan tidak melayan dakwaan negatif di media sosial, namun kali ini pihaknya menilai ia sudah melampaui batas dan perlu tindakan undang-undang.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya akan mengemukakan aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung kandungan berkenaan, yang didakwa turut menyentuh isu sensitif termasuk 3R (kaum, agama dan institusi diraja), selain membabitkan imej Istana Negeri Sabah.