MELAKA – “Setiap malam saya berdoa supaya Anggun dapat duduk seperti kanak-kanak lain dan berharap rezeki lipat baju semakin bertambah,” kata Nur Asyikin Jaafar, 28.
Demikian harapan dikongsikan ibu tunggal itu terhadap anak keduanya, Anggun Cempaka Muhd Sulaiman Adam, berusia dua tahun yang menghidap penyakit hidrosefalus sejak lahir.
Hidrosefalus ialah penyakit penumpuan cairan di rongga otak sehingga meningkatkan tekanan pada otak dan pembengkakan di kepala.

Menceritakan detik hitam itu, Nur Asyikin berkata, Anggun Cempaka dilahirkan menerusi pembedahan kecemasan di Hospital Melaka pada 16 Februari 2024 ketika usia kandungan 35 minggu selepas doktor mendapati ukuran kepalanya sudah menyamai bayi 38 minggu.
“Masa itu saya datang untuk pemeriksaan rutin biasa dan ingatkan dia cuma besar dan sihat malah sebaik sahaja dilahirkan, dia nampak normal macam bayi lain.
“Bagaimanapun, episod duka saya bermula apabila Anggun ditempatkan di wad nurseri selama hampir sebulan sehinggalah hasil keputusan MRI (Imbasan Pengimejan Resonans Magnetik) doktor mengesahkan otak kirinya dipenuhi air,” katanya menahan sebak ketika ditemui di rumahnya di Bukit Piatu, di sini.
Tambahnya, doktor kemudian memantau ukuran lilit kepala Anggun Cempaka setiap bulan sebelum berlaku peningkatan mendadak sekitar satu hingga dua sentimeter.
“Bila umurnya tiga bulan, ukur lilit kepalanya semakin membesar sehinggalah sekarang menjadi 59 sentimeter dan kerap diserang sawan sehingga tiga atau empat kali sehari.
“Anggun terpaksa menjalani pembedahan kali pertama ketika berusia enam bulan bagi memasukkan shunt, iaitu sejenis tiub pintasan yang berfungsi untuk mengalirkan lebihan cecair dari otak ke bahagian badan yang lain,” tambahnya.

Nur Asyikin berkata, dia tidak menyangka ujiannya yang ketika itu turut dalam fasa proses penceraian bertambah berat apabila pada Februari tahun lalu shunt di kepala Anggun Cempaka patah sebelum berlaku jangkitan kuman dalam darah yang merebak ke otak.
“Keadaan itu menyebabkan Anggun terpaksa menjalani pembedahan hampir setiap minggu di Hospital Melaka sebelum dipindahkan ke Hospital Tunku Azizah (HTA), Kuala Lumpur,” katanya.
Nur Asyikin berkata, dia yang ketika itu bekerja sebagai kerani insurans akhirnya terpaksa berhenti selepas keadaan Anggun Cempaka semakin kritikal dan kerap keluar masuk hospital untuk menjalani pembedahan.
Kini, ibu tunggal dua anak itu terpaksa mengambil upah melipat baju di rumah dengan bayaran RM3.90 sekilogram bagi meneruskan kehidupan mereka sekeluarga bersama anak pertama, Amanada Suraya, 4.
“Bagaimanapun pendapatan itu sangat tidak menentu kerana saya sukar mendapat pelanggan tetap dan hanya mampu memperoleh sekitar RM50 hingga RM80 sebulan.
“Kadang-kadang memang tak ada orang hantar baju langsung. Tapi itu sajalah yang saya boleh buat sebab saya tak boleh tinggalkan anak-anak sendirian.
“Saya tak suka meminta, sebab itu saya mahu bekerja walaupun dengan melipat baju kerana yakin rezeki dengan cara itu lebih baik untuk sara anak,” katanya menyeka air mata.
Dalam masa sama, Nur Asyikin berkata, dia perlu menyimpan wang sebagai persediaan sekiranya shunt yang dipasang pada kepala Anggun Cempaka rosak atau patah semula.
“Kos rawatan dan penggantian shunt boleh mencecah sehingga RM7,000 dan perlu disediakan segera sekiranya berlaku kecemasan.
“Doktor kata kalau shunt patah atau ada jangkitan kuman, memang kena buat pembedahan terus sebab itu saya perlu bekerja kerana perlu bersedia dari segi kewangan pada bila-bila masa,” katanya.
Nur Asyikin berkata, sehingga kini, Anggun Cempaka yang mempunyai kad orang kurang upaya (OKU) fizikal sudah menjalani lima pembedahan, namun berlaku pula masalah tumbesaran apabila kakinya pendek sebelah berpunca daripada gangguan saraf.
“Tapi saya tidak boleh memikirkan masalah itu dahulu kerana Anggun masih terlalu kecil untuk menjalani pembedahan ortopedik kerana fokus saya ketika ini adalah memastikannya boleh duduk sahaja.
“Sebagai ibu, saya tak sanggup lagi melihat masa depan anak sekiranya dia terlantar begini selepas doktor memaklumkan kepala Anggun terlalu besar menyebabkan keseimbangan badannya terganggu,” katanya.
Tambahnya, dia turut bersyukur apabila Anggun Cempaka layak mendapat bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 selain bekas suami turut memberikan nafkah walaupun sudah mempunyai keluarga sendiri.
Sementara itu, kepayahan hidup dihadapi Nur Asyikin turut mendapat perhatian wakil daripada Persatuan Sukarelawan Bencana Melaka (PSBM). Dr Khor Ying Kim yang menyatakan komitmen untuk membantu ibu tunggal berkenaan.

“Saya melihat Anggun seorang kanak-kanak yang kuat kerana menunjukkan perkembangan yang positif dan bagi pihak PSBM, kita akan melihat apakah bentuk bantuan lain diperlukan.
“Sebagai permulaan, kita berikan sedikit bantuan kewangan untuk meringankan beban dan berharap kesihatanya segera pulih seperti kes kanak-kanak lain yang mendapati penyakit sama,” katanya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan meringankan beban Anggun boleh berbuat demikian melalui nombor akaun Maybank 1699 6313 1470 (Nur Asyikin Jaafar) atau menghubunginya di talian 019-6528674. – MalaysiaGazette

