Bakal pengantin mencangkung atas siling ketika ditangkap khalwat

JOHOR BAHRU – Seorang bakal pengantin yang merasa ‘selamat’ selepas menyorok atas siling akhirnya terkedu apabila pihak penguat kuasa berjaya menemuinya.

Menurut Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), semuanya bermula apabila pihaknya menerima aduan awam berkenaan kehadiran lelaki berkenaan ke sebuah rumah teres dua tingkat di sebuah taman perumahan di sini pukul 2.30 pagi semalam.

JAINJ memberitahu, rumah berkenaan merupakan kediaman nenek teman wanita lelaki berkenaan dan pengadu memaklumkan lelaki tersebut sering datang ke situ.

“Sebaik tiba di lokasi penguat kuasa cuba mengetuk pintu rumah namun selepas 15 minit, pintu masih belum dibuka. Apabila penguat kuasa memberi amaran untuk memecahkan tombol pintu, seorang wanita berbaju ‘kelawar’ membuka pintu dan sebaik memperkenalkan diri, penguat kuasa menjalankan pemeriksaan.

“Selepas suis lampu dibuka, terdapat seorang nenek sedang tidur di atas katil dekat ruang tamu. Wanita itu mendakwa hanya dia dan neneknya sahaja dalam rumah tanpa orang lain,” maklum kenyataan tersebut.

Penguat kuasa terus ke tingkat atas yang mempunyai dua bilik dengan bilik pertama adalah bilik wanita itu dan didapati tiada orang lain dan pemeriksaan di bilik kedua pula kelihatan seperti tidak dihuni.

Ujar kenyataan itu, pemeriksaan lanjut di bilik kedua mendapati siling bilik berkenaan sebahagiannya sudah rosak dan jatuh terkopak.

Dakwa JAINJ, apabila pemeriksaan semula di bilik pertama menemui telefon dan dompet milik lelaki menyebabkan penguat kuasa mengesyaki terdapat orang lain di rumah berkenaan.

“Wanita itu senyap dan tidak berkata apa-apa. Penguat kuasa membuat keputusan memanjat siling rumah untuk pemeriksaan yang mana benar terdapat seorang lelaki sedang mencangkung dan berpaut di kayu galang siling.

“Penguat kuasa mengarahkan lelaki itu turun dan hasil soal siasat mendapati pasangan berkenaan bukan suami isteri.”

Jelas JAINJ, kedua-dua mereka masih bujang dengan lelaki itu bekerja di daerah ini manakala wanita berniaga atas talian dan sambilan dari rumah.

Dimaklumkan rumah berkenaan adalah rumah nenek wanita itu manakala rumah ibu bapanya hanya enam kilometer dari rumah berkenaan.

“Ibu bapanya meminta wanita ini tinggal di situ bagi menjaga nenek yang sudah uzur seorang diri.

“Menurut pengadu, lelaki ini banyak kali datang sehingga akhirnya pengadu membuat aduan dan penguat kuasa bertindak segera.”

Pada malam itu, lelaki itu datang ke rumah pukul 11.30 malam dan hasil siasatan mendapati pasangan itu akan bernikah beberapa minggu lagi malah urusan di pejabat kadi sudah pun selesai.

Pasangan berkenaan ditangkap khalwat di bawah Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Negeri Johor) 1997.- MalaysiaGazette