Gua Musang dijangka mula sesak Jumaat ini, cuti sekolah dan Aidiladha

GUA MUSANG: Daerah ini dijangka sesak bermula Jumaat ini susulan bermulanya cuti sekolah dan Aidiladha tidak lama lagi.

Justeru bagi membantu mengurangkan kesesakan yang bakal berlaku, Majlis Daerah Gua Musang (MDGM) akan mengadakan perbincangan dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuala Lipis, Pahang, bagi membincangkan proses mitigasi pergerakan kenderaan masuk ke daerah ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Hilmi Abdullah, berkata pihaknya mengambil kira pandangan setiap agensi yang terbabit sebelum memutuskan untuk melaksanakan perbincangan bersama pihak Polis dan JKR Kuala Lipis.

Katanya, keputusan ini diambil bagi membantu untuk menangani isu kesesakan yang berlaku di sempadan antara Gua Musang dan Kuala Lipis.

“Dijangkakan Gua Musang akan menerima kemasukan kenderaan perantau bermula 22 Mei ini apabila bermulanya cuti sekolah dan seterusnya cuti Aidiladha,” katanya.PauseNextMute

Terdahulu beliau ditemui ketika meninjau jalan Gua Musang-Kuala Lipis di Kampung Mentara yang turut dihadiri Yang Dipertua MDGM, Mohd Roshdi Ismail dan wakil PDRM serta JKR CSR, di sini.

Hilmi turut menasihatkan kepada perantau untuk merancang perjalanan mereka sebelum bergerak pulang ke kampung halaman masing-masing selain mendapatkan rehat yang cukup sebelum memandu.