KUALA LUMPUR – Padah khayal menghisap vape yang dipercayai mengandungi dadah di media sosial, seramai 11 individu ditahan polis di Selangor dan Johor Bahru.
Tangkapan dilakukan menerusi Op Vape 1.0 bermula 13 hingga 17 April lalu oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman bersama pelbagai agensi penguatkuasa di seluruh negara baru-baru ini.
Pengarah JSJN, Datuk Hussein Omar Khan berkata, seramai tiga lelaki tempatan termasuk dua individu dalam video tular termasuk pembekal vape disyaki mengandungi dadah telah ditahan di Selangor.
“Menerusi video berkenaan memaparkan dua lelaki dalam keadaan berkhayal dipercayai kesan pengambilan vape disyaki mengandungi dadah di kawasan parkir motosikal di sebuah apartmen di Selangor.
“Susulan itu, satu serbuan dilakukan dan kita telah merampas satu botol berisi cecair vape disyaki ketamin.
“Kemudian, tiga lagi lelaki termasuk dua individu yang membuat siaran langsung sambil menghisap vape turut ditahan di Johor Bahru bagi membantu siasatan.
“Hasil siasatan mendapati, suspek mengaku membuat siasatan langsung menerusi aplikasi Threads hanya bertujuan untuk mendapatkan gift daripada penonton,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Tambah Hussein, pihaknya turut menjalankan pemeriksaan ke atas 1,670 premis menjual vape dan telah menahan dua lelaki tempatan, seorang lelaki warga China serta dua wanita tempatan di bawah Seksten 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Kita turut merampas 19.67 kilogram (kg) cecair vape disyaki mengandungi dadah jenis Furanyl Fentanyl serta 186.54 kg cecai vape tidak mengandungi dadah dengan nilai keseluruhan rampasan sebanyak RM4.6 juta,” jelasnya.
Tegas Hussein, JSJN akan terus mempergiatkan risikan, pemantauan dan operasi bersepadu bersama agensi berkaitan bagi membanteras aktiviti pengedaran vape mengandungi bahan terlarang. – MalaysiaGazette

