Israel isytihar sebahagian besar selatan Lubnan sebagai ‘zon perang’

BEIRUT: Israel mengisytiharkan semua kawasan di selatan Sungai Zahrani di Lubnan sebagai ‘zon perang’ dan mengarahkan penduduk berpindah sebelum serangan dilancarkan terhadap kumpulan Hizbullah.

Amaran besar-besaran pertama sejak gencatan senjata 17 April lalu itu dikeluarkan ketika tentera Israel melancarkan serangan meluas di selatan dan timur Lubnan.

Sementara itu, Hizbullah mendakwa pejuangnya bertempur dengan tentera Israel di luar ‘garisan kuning’ yang ditetapkan Israel di selatan negara itu, ketika umat Islam Lubnan sedang menyambut Aidiladha.

“Kami menasihatkan penduduk selatan Lubnan supaya berpindah ke utara Sungai Zahrani kerana semua kawasan di selatan sungai itu dianggap sebagai zon perang,” menurut kenyataan tentera Israel di media sosial.

Israel turut memberi amaran akan bertindak ‘dengan kekerasan besar’ terhadap Hizbullah. Sungai Zahrani terletak kira-kira 40 kilometer (km) dari sempadan Israel-Lubnan.

Israel minggu ini berikrar memperhebat operasi ketenteraan di Lubnan dan memaklumkan pihaknya memperluaskan operasi darat di negara itu.

Rundingan antara delegasi tentera Lubnan dan Israel dijadual berlangsung di Pentagon pada Jumaat, selain pusingan baharu rundingan langsung minggu depan bagi menamatkan permusuhan.

Sebelum ini, tentera Israel mengeluarkan arahan pemindahan penduduk di bandar Nabatieh di selatan Lubnan serta beberapa kawasan di bandar pesisir Tyre dan kawasan sekitarnya.

Wartawan AFP melaporkan penduduk dari kawasan terjejas di Tyre berkumpul di bahagian bandar yang tidak termasuk dalam zon amaran.

Bagaimanapun, pihak berkuasa memberi amaran pusat perlindungan sudah penuh dan menggesa penduduk menuju ke Beirut.

Agensi Berita Nasional Lubnan (NNA) kemudian melaporkan serangan di Tyre dan kawasan sekitarnya, manakala tentera Israel berkata pihaknya hanya menyasarkan ‘pusat arahan Hizbullah’.

NNA turut melaporkan beberapa siri serangan di bandar Nabatieh yang menyebabkan “kemusnahan besar” di kawasan perumahan.

Tentera Lubnan turut memaklumkan seorang anggotanya terbunuh dalam serangan Israel di selatan negara itu.

Ketua tentera Israel, Leftenan Kolonel Eyal Zamir, berkata operasi ketenteraan dipertingkatkan bagi memberikan tamparan lebih hebat terhadap Hizbullah.

NNA turut melaporkan serangan Israel di beberapa kawasan lain di selatan Lubnan dan Lembah Bekaa di timur negara itu, dengan tentera Israel mendakwa ia menyasarkan ‘tapak infrastruktur Hizbullah’.

Hizbullah yang disokong Iran pula mendakwa pejuangnya bertempur secara jarak dekat dengan tentera Israel di bandar Zawtar al-Sharqiyah, yang terletak di luar ‘garisan kuning’ di selatan Lubnan.

Delegasi tentera Lubnan terdiri daripada enam pegawai yang diketuai Pengarah Operasi Tentera, Georges Rizkallah, dijadual menyertai rundingan di Pentagon pada hari ini.

Sumber tentera memberitahu AFP, delegasi itu akan menekankan keperluan gencatan senjata selain membentangkan pelan tentera Lubnan bagi memastikan monopoli senjata oleh kerajaan dan peluasan kuasa seluruh negara. – AFP