BRUSSELS: Kesatuan Eropah (EU) secara rasmi mengenakan sekatan terhadap tujuh peneroka dan organisasi Israel semalam susulan keganasan terhadap rakyat Palestin serta peluasan penempatan haram di Tebing Barat yang diduduki Israel.
Pada 11 Mei lalu, Menteri Luar EU bersetuju melaksanakan sekatan itu selepas ia sebelum ini tertangguh akibat bantahan bekas Perdana Menteri Hungary, Viktor Orban, namun penyingkirannya pada pilihan raya umum terbaharu negara itu membuka laluan untuk veto berkenaan ditarik balik.
Sekatan itu merangkumi larangan perjalanan dan pembekuan aset, selain warga serta syarikat EU turut dilarang menyediakan dana, aset kewangan atau sumber ekonomi lain kepada individu yang disenaraikan.
Antara individu yang dikenakan sekatan ialah Daniella Weiss, tokoh utama dalam gerakan peneroka Israel.
EU turut mengenakan sekatan terhadap 10 wakil kumpulan pejuang Palestin, Hamas, menurut Majlis Eropah yang mewakili 27 negara anggota.PauseNextMute
Tebing Barat yang diduduki Israel menyaksikan keganasan hampir setiap hari membabitkan tentera dan peneroka Israel sejak perang di Gaza tercetus pada Oktober 2023.
EU juga berdepan tekanan daripada Sepanyol dan Itali supaya mengenakan sekatan terhadap Menteri Keselamatan Negara Israel, Itamar Ben Gvir, yang memuat naik video menunjukkan aktivis flotila bantuan menuju ke Gaza dipaksa melutut dengan tangan diikat ketika ditahan.

