Remaja 14 tahun kelar leher dipengaruhi vape mushroom

MELAKA – Remaja perempuan berusia 14 tahun yang cuba mengambil nyawa sendiri dengan mengelar leher dan tangan di rumah keluarganya di Jonker Walk di sini Ahad lalu disyaki berada di bawah pengaruh vape mushroom dibekalkan kekasihnya berusia 17 tahun.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, siasatan awal mendapati, kejadian pukul 10.33 malam 24 Mei lalu berpunca apabila mangsa tertekan selepas dihalang ibu angkatnya berusia 49 tahun untuk keluar bersama teman lelakinya itu.

Menurutnya, mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Melaka untuk menerima rawatan awal di Zon Kuning Unit Kecemasan sebelum dilaporkan stabil dan dibenarkan keluar wad semalam.

“Siasatan mendapati mangsa bertindak demikian kerana berang dengan tindakan ibunya yang menghalangnya keluar bersama kekasihnya sebelum masuk ke dalam bilik tidur di tingkat satu rumahnya di sekitar Jonker Walk dan mengelar kedua-dua belah tangan serta leher menggunakan sebilah pisau.

“Ibu angkatnya mendakwa mangsa yang sudah tidak bersekolah berada di bawah pengaruh mushroom vape sehingga bertindak di luar kawalan.

“Siasatan mendapati dadah itu dipercayai dibekalkan teman lelakinya yang juga pelajar Tingkatan 4 selepas mangsa mula terjebak dengan tabiat menghisap vape sejak Februari lalu apabila berkenalan dengan kekasihnya itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Dzulkhairi berkata, ibu angkat mangsa juga telah merampas peranti berkenaan bagi menghalang mangsa daripada terus menghisapnya.

“Siasatan lanjut masih dijalankan terhadap ibu angkat mangsa yang bekerja sebagai penjaga tokong dan penghuni rumah berumur antara 14 hingga 75 tahun.

“Polis sedang mendapatkan keterangan penuh serta pasti punca sebenar kejadian sehingga mendorong perbuatan remaja itu.

“Setakat ini belum ada tangkapan dilakukan namun polis menjalankan siasatan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana dipercayai wujud unsur kecuaian atau pengabaian terhadap mangsa,” katanya.

Jika disabitkan kesalahan, individu terlibat boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Selasa lalu, MalaysiaGazette melaporkan seorang pelajar sekolah cedera selepas disyaki mengelar lehernya sendiri di rumahnya di sekitar Banda Hilir.

Mangsa bagaimanapun terselamat apabila sempat dikejarkan ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan lanjut. – MalaysiaGazette