Seorang maut, seorang lagi parah ditanduk kerbau dalam program korban

JOHOR BAHRU – Seorang maut manakala seorang lagi parah ditanduk kerbau dalam dua program ibadah korban berasingan di kawasan Ulu Tiram di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Seri Alam Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, terdahulu pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam terkesan dengan hantaran tular dalam media sosial pada hari ini berkenaan dua kejadian tersebut.

“Hasil semakam mendapati satu kejadian tersebut pukul 2 petang semalam di kawasan Batu 19, Kampung Sungai Tiram, Ulu Tiram di sini.

“Kejadian melibatkan seorang lelaki tempatan berusia 45 tahun mengalami kecederaan patah tulang rusuk bahagian kiri selepas ditanduk seekor kerbau untuk ibadah korban yang tiba-tiba bertindak liar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa kemudian dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HIS) di sini untuk rawatan.

Bagaimanapun katanya, sehingga kini pihak polis tidak menerima sebarang laporan berhubung kejadian tersebut.

Mohd Sohaimi memberitahu, semakan mendapati satu lagi kejadian berlaku pukul 10 pagi semalam di Kampung Tenang, Ulu Tiram melibatkan seorang lelaki tempatan berusia 45 tahun juga ditanduk seekor kerbau semasa program korban.

Jelasnya, mangsa, Ahmad Shah Meerasah yang cedera dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini untuk mendapatkan rawatan namun meninggal dunia pukul 11 malam tadi.

“Hasil laporan bedah siasat terhadap mangsa mendapati sebab kematian adalah kecederaan saluran darah (vaskular) kaki kiri,” ujarnya.

Menurut beliau, kes diklasifisasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan tidak melibatkan sebarang unsur jenayah.

Tambahnya, pemakluman tentang kedua-dua kejadian tersebut sudah dibuat kepada pihak Jabatan Veterinar Negeri Johor untuk tindakan susulan.

“Pihak polis menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih mengenai kes ini.

“Kerjasama masyarakat amat dihargai untuk membolehkan siasatan dijalankan dengan teliti dan adil,” katanya.

Terdahulu tular video berdurasi kira-kira 40 saat memaparkan kejadian di Kampung Tenang apabila program korban bertukar kecoh selepas seekor kerbau tiba-tiba ‘naik minyak’ dan menyerang orang ramai.

Kerbau berkenaan yang terlepas daripada tali dipegang kemudian mengamuk dan orang ramai bertempiaran lari sebelum menanduk seorang lelaki.

Lelaki berkenaan disondol kerbau hitam tersebut hingga menyebabkannya terangkat sebelum terjatuh ke tanah dan mangsa sempat bangun selepas ditanduk.- MalaysiaGazette