KUALA LUMPUR: Dua wakil negara meneruskan kemaraan di Terbuka Australia apabila beregu campuran, Loo Bing Kun-Noraqilah Maisarah Ramdan dan perseorangan lelaki, Justin Hoh melangkah ke pusingan kedua kejohanan bertaraf Super 500 itu di Arena Quaycentre, Sydney, hari ini.
Tumpuan terarah kepada Bing Kun-Noraqilah yang hanya memerlukan 15 minit untuk membelasah pasangan Jerman, Calvin Devereux-Desiree Toepffer dalam aksi yang boleh dianggap antara paling dominan setakat kejohanan ini.
Pasangan negara itu langsung tidak memberi ruang kepada lawan apabila menang 21-1, 21-3 sekali gus mengesahkan tiket ke pusingan kedua dengan penuh bergaya.
Kemenangan itu membuktikan kelebihan ketara dimiliki gandingan muda negara itu apabila menguasai permainan sejak mata pertama sehingga tamat perlawanan.
Noraqilah yang turut mencipta kejutan dalam acara beregu wanita semalam jelas meneruskan rentak cemerlangnya di Sydney apabila sekali lagi membantu Malaysia melakar kemenangan meyakinkan.
Sementara itu, Justin terpaksa mengharungi cabaran lebih sukar sebelum berjaya menyingkirkan pemain India, Kiran George dalam tempoh sejam.
Pemain ranking ke-47 dunia itu bermula baik apabila menguasai set pertama 21-19 sebelum tewas 14-21 dalam set kedua.
Bagaimanapun, Justin berjaya mengekalkan ketenangan pada mata-mata penting untuk menutup perlawanan dengan kemenangan 21-19 di set penentuan.
Menanti Justin di pusingan kedua esok ialah pemain Ireland, Nhat Nguyen yang dijangka memberikan tentangan lebih mencabar dalam perebutan tiket ke suku akhir.

