MEXICO CITY: Pemain sayap Colombia, Luis Diaz mempamerkan prestasi memukau ketika membantu pasukannya menewaskan pendatang baharu Piala Dunia, Uzbekistan 3-1 dalam aksi Kumpulan K di Stadium Mexico City, hari ini.
Colombia yang gagal layak ke Piala Dunia 2022 di Qatar bermula agak perlahan, namun berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-41.
Diaz melakukan hantaran lambung menarik ke dalam kotak penalti sebelum disudahkan Daniel Munoz menerusi sentuhan kemas selepas berjaya melepasi kawalan pertahanan lawan.
Uzbekistan menyamakan kedudukan pada minit ke-60 apabila rembatan penyerang, Eldor Shomurodov gagal ditangkap kemas penjaga gol, Camilo Vargas.PauseNextMute
Abbosbek Fayzullaev pantas mengambil kesempatan dengan menanduk masuk bola muntah dari jarak dekat.
Bagaimanapun, Colombia kembali di hadapan lima minit kemudian menerusi Luis Diaz yang menyudahkan peluang dari sebelah kiri kawasan penalti.
Pemain gantian, Jaminton Campaz kemudian memastikan kemenangan Colombia apabila menanduk masuk gol ketiga pada masa kecederaan.
Kemenangan itu menyaksikan Colombia mendahului Kumpulan K selepas Portugal dan Republik Demokratik Congo seri 1-1 dalam satu lagi perlawanan kumpulan.
Colombia akan berdepan Republik Demokratik Congo di Guadalajara, Rabu depan manakala Uzbekistan dijadual menentang Portugal di Houston.

