Jurujual mengaku salah tetak penunggang motosikal sehingga parah di Lebuhraya Persekutuan

SHAH ALAM: Seorang jurujual mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menetak seorang penunggang motosikal sehingga parah di laluan motosikal, Lebuhraya Persekutuan di sini, minggu lalu.

Tertuduh, Azmi Jantan, 43, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Datin Fatimah Zahari.

Mengikut pertuduhan, lelaki berkenaan didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah terhadap seorang lelaki berusia 45 tahun dengan menetaknya menggunakan pisau potong daging iaitu senjata yang boleh menyebabkan kematian.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Kilometer 14.6 laluan motosikal Lebuhraya Persekutuan, Seksyen 13, jam 8.19 pagi, 11 Jun lalu.

Justeru, dia melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman pemenjaraan hingga 20 tahun dan hendaklah juga dikenakan denda atau sebat.PauseNextMute

Timbalan Pendakwa Raya, Ho Zee Xing mencadangkan jaminan berjumlah RM30,000 dengan seorang penjamin warga tempatan serta syarat tambahan tertuduh menyerahkan pasport dan melaporkan diri ke balai polis berdekatan sebulan sekali.

Beliau juga memohon satu tarikh untuk sebutan fakta kes dan jatuh hukum.

Azmi yang tidak diwakili peguam kemudian memohon jumlah jaminan rendah berjumlah RM5,000.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM15,000 dengan seorang penjamin warga tempatan serta syarat tambahan tertuduh melaporkan diri ke balai polis berdekatan sebulan sekali hingga kes selesai.

Sebutan untuk fakta kes dan jatuh hukum ditetapkan pada 8 Julai depan.

Media sebelum ini melaporkan, seorang penunggang motosikal cedera selepas ditetak penunggang lain di laluan motosikal Lebuhraya Persekutuan, Seksyen 13, di sini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Sarudin Samah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 pada jam 8.19 pagi berhubung kejadian itu.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 7 pagi ketika lelaki berusia 45 tahun yang menunggang motosikal dalam perjalanan ke tempat kerja di Kuala Lumpur.

“Ketika melalui laluan berkenaan, mangsa membunyikan hon kepada seorang penunggang motosikal lain kerana dipercayai menghalang laluannya.

“Bagaimanapun, tindakan itu menyebabkan suspek, lelaki tempatan berusia 43 tahun, tidak berpuas hati sebelum berhenti di tepi jalan dan bertindak menetak mangsa menggunakan sebilah pisau pemotong daging,” katanya dalam kenyataan.