Ketua Hizbullah sifatkan Lubnan berada di persimpangan penting selepas perjanjian AS-Iran

BEIRUT: Ketua Hizbullah, Naim Qassem, semalam menggesa pihak berkuasa Lubnan memanfaatkan detik yang disifatkannya sebagai persimpangan penting susulan perjanjian antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran untuk menamatkan perang di Asia Barat, menjelang rundingan antara Lubnan dan Israel minggu depan.

Pegawai AS dan Iran serta Pakistan yang bertindak sebagai pengantara sebelum ini memaklumkan perjanjian itu turut merangkumi Lubnan, yang terbabit dalam peperangan dengan Israel sejak 2 Mac lalu.

Bagaimanapun, Presiden Lubnan, Joseph Aoun, menegaskan rundingan negaranya dengan Israel di Washington adalah berasingan daripada perjanjian serantau berkenaan.

Dalam ucapan yang disiarkan menerusi televisyen, Qassem menyifatkan perjanjian itu sebagai kemenangan besar bagi Iran dan berterima kasih kepada Tehran kerana mengaitkan situasi di Lubnan dengan perjanjian berkenaan serta memaksa Israel menghentikan pencerobohannya ke atas negara itu.

Walaupun keganasan di Lubnan berkurangan selepas pengumuman perjanjian itu, media negara melaporkan sekurang-kurangnya lima orang terbunuh dalam serangan Israel di selatan Lubnan sejak itu.PlayNextMute

Media turut melaporkan serangan Israel berterusan di kawasan selatan negara itu semalam.

Tentera Israel memaklumkan lima anggotanya cedera, termasuk seorang parah, akibat serangan dron berisi bahan letupan di selatan Lubnan, iaitu pengumuman pertama seumpamanya sejak perjanjian AS-Iran dimeterai.

Tentera Israel juga berkata tenteranya berjaya memintas beberapa roket yang dilancarkan ke arah pasukan yang beroperasi di selatan Lubnan tanpa sebarang korban dilaporkan.

Setakat semalam, Hizbullah tidak mengaku bertanggungjawab terhadap sebarang serangan ke atas sasaran Israel.Qassem menggesa Lubnan memanfaatkan detik penting selepas perjanjian itu bagi mencapai matlamat mengusir Israel dari wilayah negara berkenaan.