England, Ghana berebut tiket pusingan kalah mati

KANSAS CITY: England dan Ghana berpeluang untuk mengesahkan tempat ke pusingan kalah mati Piala Dunia selepas kedua-dua pasukan yang membuka kempen dengan kemenangan bakal bertembung dalam aksi Kumpulan L di Boston, Rabu ini.

England hadir dengan keyakinan tinggi selepas menang 4-2 ke atas Croatia dalam aksi yang mempamerkan keberanian taktikal pengurus Thomas Tuchel, namun turut mendedahkan kelemahan di benteng pertahanan.

Ghana pula tampil lebih berdisiplin dan berbahaya selepas mencatat kemenangan 1-0 ke atas Panama, sekali gus menjadikan pertembungan Rabu nanti sebagai ujian sebenar kemampuan kedua-dua pasukan terbabit dalam kejohanan.

England membuka kempen dengan cemerlang apabila Harry Kane, Jude Bellingham dan Marcus Rashford masing-masing menjaringkan gol ketika menewaskan Croatia dalam perlawanan yang memperlihatkan gabungan serangan berbahaya.

Keputusan itu meningkatkan keyakinan bahawa pendekatan lebih menyerang England mampu menjadikan mereka pencabar utama kejohanan di Amerika Utara, namun dua gol yang dibolosi menjadi peringatan bahawa masih banyak perlu diperbaiki.

Kane yang mengetuai pasukan dalam Piala Dunia ketiganya disokong oleh gabungan pemain berpengalaman seperti Declan Rice dan Bukayo Saka, serta bakat muda termasuk Kobbie Mainoo dan Morgan Rogers.

Tuchel menegaskan cabaran utama England adalah untuk menyeimbangkan gaya permainan menyerang dengan ketahanan pertahanan apabila saingan semakin sengit.

“Kumpulan yang sukar dengan Croatia dan Ghana, dua pasukan tetap Piala Dunia serta dua negara yang kuat,” kata Tuchel mengenai saingan Kumpulan L.

Ghana menunjukkan disiplin dan kesabaran ketika menewaskan Panama, dengan jaringan lewat memastikan tiga mata penuh dan meletakkan mereka di ambang kelayakan ke pusingan kalah mati buat pertama kali sejak 2010.

Pemain tengah, Thomas Partey akan kembali diturunkan selepas sebelum ini tidak dibenarkan memasuki Kanada untuk perlawanan menentang Panama di Toronto yang mana dia berdepan tuduhan rogol dan serangan seksual di Britain, namun menafikan semua dakwaan itu.

Menerusi sentuhan Carlos Queiroz, Ghana membina kekuatan mereka melalui organisasi permainan yang kemas dan serangan balas pantas, serta memiliki kepantasan dan kekuatan fizikal yang mampu mengancam England.

Ghana yang pernah melangkah ke suku akhir Piala Dunia 2010 kembali membawa harapan untuk mencipta satu lagi kejutan besar di pentas dunia.

Kemenangan ke atas England akan memastikan kelayakan mereka ke pusingan seterusnya dan dianggap antara pencapaian terbesar dalam sejarah bola sepak negara itu.

“Kami mesti bersedia untuk berkorban. Anda perlu bersedia membayar harga kerana kemenangan di Piala Dunia ini sangat mahal. Namun, pemain bersedia untuk membayar harga itu,” kata Queiroz.