NIBONG TEBAL – Polis membuka siasatan berhubung dua kenderaan dipandu secara melulu dan berbahaya dipercayai di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dari arah Jawi menghala ke Bukit Tambun.
Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Deputi Superintendan Mohd Norazmi Abd Ghapar berkata, pihaknya mengesan video berdurasi dua minit 43 saat itu yang dimuat naik menerusi akaun Facebook pukul 8.30 malam semalam.
Menurutnya, video berkenaan memaparkan sebuah kereta Perodua Viva dan sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dipandu secara melulu dan berbahaya seolah-olah sedang berlumba di lebuh raya berkenaan.
“Perbuatan kedua-dua pemandu tersebut adalah berbahaya kepada diri sendiri dan juga pengguna jalan raya yang lain.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Mohd Norazmi, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan video tular itu diminta menyalurkan maklumat kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Selatan.
“Kami ingin mengingatkan orang ramai bahawa tindakan memandu secara berbahaya boleh mengundang kemalangan maut dan akan dikenakan tindakan undang-undang yang tegas.
“IPD Seberang Perai Selatan akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan trafik, khususnya Op Mabuk bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya sentiasa terjamin,” katanya. – MalaysiaGazette

