Bangunan 4 tingkat etnik Rohingya selesai diroboh hari ini

KUALA LUMPUR: Bangunan empat tingkat yang dibina secara tidak sah yang sebelum ini digunakan sebagai penempatan pelarian etnik Rohingya dekat Kampung Sungai Makau di Hulu Langat kini selesai dirobohkan.

Perkara itu disahkan sendiri pemilik premis berkenaan menerusi satu hantaran hari ini.

Menurut maklumat dikongsi, fasa terakhir membabitkan bahagian hadapan flat berkenaan sudah pun rebah menyembah bumi, menandakan berakhirnya keseluruhan operasi peruntuhan struktur penempatan itu.

Tindakan drastik merobohkan keseluruhan struktur diambil susulan pelbagai isu berbangkit yang mencetuskan keresahan dalam kalangan komuniti tempatan sebelum ini.

Kawasan berkenaan sering dikaitkan dengan masalah kebanjiran warga asing, isu kebersihan kronik serta kacau ganggu ketenteraman awam.

Sebelum ini, premis berkenaan mencetus kontroversi hebat selepas beberapa klip video memaparkan kawasan persekitaran yang didominasi oleh etnik berkenaan tular sehingga menimbulkan kegusaran awam berhubung kewujudan ‘perkampungan haram’ warga asing di tengah-tengah kawasan bandar.

Media sebelum ini melaporkan penempatan itu mula dirobohkan pemilih kawasan tapaknya dengan pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) turut hadir menanggalkan tiang elektrik di kawasan berkenaan.

SUMBER : BULETIN TV3