BANGKOK: Pihak berkuasa Thailand menggesa penduduk Bangkok supaya mengehadkan aktiviti di luar rumah, terutamanya antara jam 11 pagi hingga 3 petang, susulan indeks haba di ibu negara berkenaan dilaporkan mencecah paras bahaya iaitu 51.9 darjah Celsius.
Jabatan Alam Sekitar bersama Jabatan Meteorologi Thailand mengesahkan faktor haba udara dan kelembapan relatif tinggi itu kini berada pada tahap merah atau bahaya, sekali gus menjejaskan keupayaan badan untuk menyejukkan diri melalui peluh dan meningkatkan risiko strok haba yang boleh membawa maut.
Berdasarkan garis panduan kerajaan, indeks haba dikategorikan kepada empat tahap amaran iaitu Tahap Pengawasan antara 27.0 hingga 32.9 darjah Celsius yang memerlukan kumpulan berisiko kerap minum air, Tahap Amaran pada suhu antara 33.0 hingga 41.9 darjah Celsius untuk mengurangkan aktiviti luar, Tahap Bahaya pada 42.0 hingga 51.9 darjah Celsius yang menuntut pemantauan gejala kendiri secara rapi dan Tahap Sangat Bahaya pada suhu 52 darjah Celsius ke atas yang melarang sama sekali sebarang aktiviti luar.
Bagi mendepani cuaca ekstrim ini, pihak berkuasa tempatan turut mengenal pasti lapan kumpulan berisiko tinggi yang memerlukan pengawasan segera termasuk kanak-kanak bawah lima tahun, warga emas, wanita hamil, pesakit kronik, individu obes, peminum alkohol, pelancong, serta pekerja sektor luar seperti penghantar barangan dan buruh binaan.
Aspek perlindungan kecemasan turut dipertingkatkan bagi melindungi orang ramai daripada kesan langsung cuaca melampau seperti keletihan, pening, ruam kulit, kekejangan, dan strok haba.
Kerajaan Thailand juga membuka rangkaian bilik pelepasan haba Bangkok di seluruh bandar raya berkenaan sebagai zon berteduh yang selamat.

