Jangan bunuh masa depan bola sepak Turkiye

INGLEWOOD: Pengendali Turkiye, Vincenzo Montella menggesa penyokong dan media supaya menghormati barisan pemainnya serta menghentikan serangan peribadi susulan kempen mengecewakan pasukan itu di Piala Dunia 2026.

Menjelang aksi terakhir Kumpulan D menentang tuan rumah bersama, Amerika Syarikat (AS), pagi esok, Montella tampil mempertahankan skuadnya yang sudah tersingkir selepas tewas kepada Australia dan Paraguay.

“Saya benar-benar meminta semua pihak menghormati mereka kerana mereka adalah anak-anak kita, pemain kita dan masa depan bola sepak negara,” kata jurulatih dari Itali itu.

Montella mengingatkan bahawa sebahagian besar pemain sama berjaya membawa Turkiye kembali ke pentas Piala Dunia buat kali pertama selepas 24 tahun selain mencatat beberapa keputusan membanggakan sepanjang hampir tiga tahun beliau mengendalikan pasukan.

Beliau mengakui pasukannya masih mempunyai banyak kelemahan, namun menegaskan kritikan seharusnya bersifat membina dan bukannya menyerang pemain secara peribadi.

“Saya melihat serangan peribadi yang saya sama sekali tidak boleh terima,” katanya.

Jurulatih berusia 52 tahun itu berkata, Turkiye sebenarnya berjaya mencipta banyak peluang dan merekodkan statistik serangan yang baik sepanjang kejohanan, namun gagal menterjemahkannya kepada keputusan positif.

“Kami boleh melakukan lebih baik, tetapi kami sudah memberikan segala-galanya, dengan sepenuh hati dan seluruh kemampuan kami,” katanya.

Montella turut memberi bayangan mahu terus kekal membimbing Turkiye sambil menegaskan beliau akan meneruskan tugas dengan komitmen yang sama seperti sebelum ini.

Mengulas pertemuan dengan AS, beliau menyifatkan tuan rumah bersama itu sebagai pasukan yang gemar menguasai bola, tersusun dan sukar ditewaskan.

“Ia akan menjadi perlawanan yang sangat sukar, malah mungkin antara yang paling sukar buat kami,” katanya.