MELAKA – Pemergian anak sulung ketika menjalani latihan ragbi di sekolah petang semalam mengejutkan keluarganya memandangkan pelajar Tingkatan Dua itu tidak pernah mempunyai sebarang sejarah penyakit sebelum ini.
Malah bapanya, Mohd Aswandi Wahid, 41, berkata, anak sulung daripada tiga beradik itu, Muhammad Raiyan Nufael, 14, aktif bersukan dan sentiasa menjaga kecergasan diri sehingga layak memasuki Akademi Ragbi Melaka.
“Memang saya terkejut kerana sebelum ini dia tak ada sakit apa-apa malah sentiasa menjalani rutin kecergasan termasuk berjoging dan ke gimnasium ketika cuti sekolah.

“Umur dia 14 tahun tapi lebih tinggi dari saya malah kasut pun saiz 10.5 membuktikan dia memang dia sihat dan cergas,” katanya ketika ditemui pemberita di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka malam tadi.
Menurutnya, arwah tidak pernah mengadu mengalami masalah kesihatan selain sentiasa ceria sepanjang berada di asrama kerana perwatakan ramahnya membuatkan satu-satunya anak lelakinya itu disenangi sesiapa sahaja
Menceritakan detik dimaklumkan kejadian Aswandi berkata, ketika itu dan isteri sedang dalam perjalanan pulang dari Cameron Highlands selepas bertolak menunggang motosikal jam 9 pagi semalam dari rumahnnya di Alor Gajah.
“Saya dan isteri pergi Cameron Highlands pun sekadar makan dan membeli strawberi sebelum menerima panggilan daripada guru arwah ketika dalam perjalanan pulang berhampiran Simpang Pulai.
“Tiba-tiba cikgu telefon beritahu anak saya ‘collapse’ selepas latihan rugbi. Masa tu saya dah reda dan beritahu isteri
untuk cuba tenangkan diri dan menerima apa sahaja ketentuan Ilahi,” katanya

Menceritakan perubahan sikap arwah anaknya itu, dia mengakui terdapat beberapa perubahan yang disedarinya ketika arwah pulang bercuti minggu lalu.
Katanya, Muhammad Raiyan yang kebiasaannya meminta bantuan ibu atau nenek menguruskan pakaian dan kelengkapan sekolah kali ini melakukan semuanya sendiri tanpa disuruh.
“Biasanya isteri saya akan siapkan barang-barang dia kalau nak balik asrama atau ada perlawanan tapi kali ini dia urus sendiri semuanya.
“Seawal jam 6.30 pagi dia sudah siap dan mengemas semua kelengkapan,” katanya.

Jenazah Muhammad Raiyan dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Air Lanjut, Kelemak, Alor Gajah selepas proses bedah siasat pagi ini.
Malam tadi, MalaysiaGazette melaporkan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Telok Mas itu meninggal dunia ketika sedang mengikuti latihan rugbi kira-kira jam 6 petang.
Mangsa dilaporkan tiba-tiba rebah semasa mendengar taklimat diberikan jurulatih selepas berhenti berehat.
Sementara itu, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Negeri Melaka, Datuk Rahmad Mariman ketika dihubungi mengesahkan kejadian.
Pemangku Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superitendan Halim Abas turut memaklumkan akan mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai insiden berkenaan.- MalaysiaGazette

