JOHOR BAHRU – Pengerusi UMNO Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi hari ini menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi bahawa beliau pernah memaklumkan pembubaran Dewan Negeri Johor (DUN) dibuat atas ‘arahan’ pihak istana.
Beliau berkata, dakwaan itu bukan sahaja tidak benar, malah memutarbelitkan proses perlembagaan yang sah sehingga boleh menimbulkan persepsi kononnya Institusi Diraja mencampuri urusan dan keputusan politik UMNO Johor.
Menurut Onn Hafiz, apa yang sebenarnya dimaklumkan kepada Mohd Puad ialah pembubaran DUN Johor dibuat selepas mendapat titah perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.
Ini juga selaras dengan Fasal 23, Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895.
Beliau berkata, Menteri Besar tidak mempunyai kuasa untuk membubarkan Dewan Negeri sesuka hati kerana proses itu perlu melalui peruntukan yang ditetapkan dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor sebelum boleh berkuat kuasa.
“Saya telah mengadap dan mempersembahkan perkara tersebut. Selepas mendapat perkenan, saya mengumumkan pembubaran Dewan Negeri Johor kepada rakyat secara terbuka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, mendapatkan titah perkenan merupakan satu proses yang diperuntukkan oleh perlembagaan negeri dan sama sekali tidak boleh ditafsirkan sebagai menerima arahan atau campur tangan politik daripada Institusi Diraja.
Katanya, tindakan memutarbelitkan fakta tersebut adalah tidak bertanggungjawab kerana boleh mewujudkan persepsi yang salah terhadap peranan Institusi Diraja dalam sistem pemerintahan negeri.
Beliau berkata, setiap proses pembubaran DUN perlu mematuhi lunas perlembagaan dan dilakukan mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor, justeru dakwaan Istana mengarahkan pembubaran adalah tidak berasas.
Tambah Onn Hafiz, Mohd Puad berhak meninggalkan UMNO serta mempunyai pandangan berbeza dengan kepimpinan parti, namun kenyataan sedemikian tidak sepatutnya dibuat sehingga mengaitkan Institusi Diraja.
“Perkara ini amat serius dan berpotensi menyentuh sensitiviti 3R, khususnya berkaitan Institusi Diraja, selain boleh menjejaskan keharmonian serta ketenteraman awam,” tegasnya.
Sehubungan itu, beliau memaklumkan UMNO Johor akan membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dan tindakan lanjut dijalankan oleh pihak berkuasa berhubung kenyataan berkenaan.
Beliau turut menyeru semua pihak supaya menghormati Institusi Diraja, mematuhi Perlembagaan serta Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor, selain tidak memperalatkan institusi tersebut dalam pertelingkahan politik demi memelihara keharmonian dan kestabilan negeri.
Mohd Puad yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor mendakwa campur tangan istana dalam keputusan UMNO Johor selain menuduh Onn Hafiz hanya ‘pak turut’ Istana. –MalaysiaGazette

