Penemuan bom dekat landasan jejas operasi Lapangan Terbang Labuan

LABUAN: Operasi penerbangan di Lapangan Terbang Labuan terganggu susulan penutupan sementara landasan selepas penemuan beberapa bom pada jarak kira-kira 150 meter dari landasan berkenaan.

Menurut Notis kepada Juruterbang (NOTAM) yang dimuat naik menerusi Facebook Malaysia Airports, penutupan sementara landasan itu dimaklumkan oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada 5 petang tadi dan berkuat kuasa sehingga dimaklumkan kelak.

TUDM bersama pihak berkuasa lapangan terbang kini menjalankan pemeriksaan bersama di kawasan landasan yang hanya akan dibuka semula selepas pemeriksaan selesai serta pengesahan keselamatan dikeluarkan.

Susulan penutupan itu, penerbangan dari Labuan ke Miri dan Kota Kinabalu dibatalkan, manakala beberapa penerbangan lain yang dijadual tiba dan berlepas terpaksa dilencongkan, ditangguhkan atau mengalami perubahan operasi.

Penumpang yang dijadual melakukan perjalanan ke dan dari Labuan dinasihatkan supaya menyemak status penerbangan terkini serta urusan perjalanan masing-masing dengan syarikat penerbangan sebelum ke lapangan terbang.

Maklumat lanjut berhubung perkembangan situasi itu akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Tinjauan Bernama di Lapangan Terbang Labuan mendapati beberapa penerbangan bermula pukul 4.05 petang, 5.15 petang, 6.05 petang, 6.15 petang dan 7.25 malam ke Kuala Lumpur, Kota Kinabalu serta Miri terjejas.

Sumber memaklumkan bahan letupan yang dipercayai bom peninggalan era Perang Dunia Kedua itu ditemukan di tapak projek pembaikan cerun di Jalan Persisiran Pantai Kerupang.

– BERNAMA