KUALA LUMPUR: Lima warden Penjara Taiping akan didakwa esok atas dakwaan terbabit memukul tiga banduan sehingga mengakibatkan seorang tahanan maut manakala beberapa lagi cedera pada Januari tahun lalu.
Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman bersama Kontinjen Polis Perak dalam kenyataan memaklumkan siasatan menyeluruh dijalankan susulan arahan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Pengarah JSJ, Datuk M Kumar berkata, kertas siasatan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara sebelum dikembalikan pada 29 Jun lalu dengan arahan supaya lima warden berkenaan didakwa mengikut pelbagai peruntukan Kanun Keseksaan.
Seorang warden akan didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan atas kesalahan dengan sengaja menyebabkan kecederaan.
Dua lagi warden masing-masing akan berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 323 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan dengan niat bersama.
Baki dua lagi warden akan didakwa mengikut Seksyen 324 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata dengan niat bersama, yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 10 tahun, denda, sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman itu jika sabit kesalahan.
Kumar berkata, pertuduhan itu berikutan kecederaan yang dialami tiga banduan dan kelima-lima warden berkenaan dijadualkan didakwa di Mahkamah Majistret Taiping pada jam 9 pagi esok.
Seorang lagi warden penjara sebelum ini telah didakwa pada 19 Disember 2025 mengikut Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian tanpa niat membunuh berkaitan insiden sama.
Beliau turut menggesa orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau memanipulasi fakta memandangkan prosiding jenayah akan bermula, selain menekankan kepentingan menghormati prinsip keadilan.
Pada 25 Mei lalu, SUHAKAM menuntut tindakan disiplin segera terhadap pegawai Penjara Taiping yang terbabit dalam insiden keganasan tahun lalu, sambil menolak dakwaan bahawa tindakan sedemikian akan mencetuskan isu “double jeopardy”.
Suruhanjaya itu menegaskan dasar toleransi sifar dilaksanakan terhadap sebarang salah laku, penyalahgunaan kuasa atau pelanggaran undang-undang dalam perkhidmatan.
Saifuddin sebelum ini berkata kerajaan tidak akan melindungi sebarang salah laku yang dikesan berhubung kematian seorang banduan di penjara itu.
Beliau berkata, pihak berkuasa perlu membenarkan proses undang-undang berjalan sekiranya siasatan menemukan bukti kukuh berkaitan salah laku.
“Prinsip kita sangat jelas. Jika sesuatu kes telah melalui proses siasatan, tanpa mengira badan mana yang menjalankannya, dan bukti kukuh dikemukakan serta semua proses berkaitan termasuk temu bual saksi dilaksanakan, maka siasatan susulan perlu diteruskan,” katanya pada perhimpunan bulanan Kementerian Dalam Negeri baru-baru ini.
SUMBER : TV3
Baik, baik ada makna tu..

