Unsur sabotaj tidak jejas kempen PH – Fuziah

Datuk Fuziah Salleh ditemui pemberita selepas meninjau pelaksanaan mekanisme bantuan subsidi BUDI Madani Diesel (Budi Diesel) di Stesen Minyak Petronas di Bandar Dato’ Onn, Johor Bahru

JOHOR BAHRU: Kempen Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 setakat ini berjalan lancar meskipun terdapat beberapa insiden disyaki meibatkan unsur sabotaj ke atas bahan kempen parti itu.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Fuziah Salleh berkata, kempen calon-calon parti itu setakat ini berjalan baik dan mendapat maklum balas positif dalam kalangan penduduk setempat.

“Adalah sikit-sikit (unsur sabotaj), antaranya poster calon dikoyakkan, billboard yang dipasang turut dirosak serta bendera parti dibakar.

“Walaupun ada unsur kacau ganggu, namun secara keseluruhannya, kempen berjalan dengan tenang,” katanya pada sidang akhbar selepas meninjau pelaksanaan mekanisme bantuan subsidi BUDI Madani Diesel (Budi Diesel) di Stesen Minyak Petronas di Bandar Dato’ Onn, di sini, hari ini.

Menurut Fuziah, jentera kempen PH kini berada dalam keadaan semakin mendapat sambutan setelah setiap calon menjalankan program yang padat dari pagi hingga malam melibatkan 10 aktiviti sehari.

Beliau berkata, maklum balas daripada pengundi, khususnya golongan muda dan pengundi kali pertama, kekal positif serta menunjukkan peningkatan sokongan terhadap PH.

“Alhamdulillah, kempen berjalan lancar, walaupun ada calon yang pertama kali bertanding, mereka sudah mula mendapat rentak.

“Dari segi sokongan, ia semakin meningkat, terutamanya daripada pengundi muda yang mahu mendengar dan menilai sendiri pendekatan calon,” katanya.

Ditanya mengenai kehadiran pemimpin tertinggi PH di beberapa lokasi kempen di zon utara, beliau tidak melihat ia sebagai strategi bagi menawan kawasan tersebut sebaliknya ia lebih dipengaruhi faktor logistik berikutan Parlimen ketika ini sedang bersidang.

“Saya rasalah mungkin dari segi logistik sahaja. Sekarang Parlimen sedang bersidang, jadi agak sukar sedikit untuk pergerakan jentera dan program besar dilaksanakan,” ujarnya.

SUMBER : TV3