Cabul, liwat pelajar: Kolej dipercayai tidak semak rekod lampau suspek

KUALA LUMPUR – Polis telah mengambil rakaman percakapan daripada dua saksi utama iaitu pengadu dan bapa kepada suspek bagi membantu siasatan kes cabul serta liwat yang didakwa melibatkan seorang pekerja di sebuah kolej.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Sarudin Samah berkata, rakaman percakapan beberapa saksi lain yang berkaitan turut sedang diatur bagi melengkapkan siasatan kes berkenaan.

Menurutnya, hasil semakan awal mendapati suspek telah berkhidmat di sebuah kolej di Glenmarie selama kira-kira dua tahun.

Bagaimanapun, siasatan awal mendapati pihak pengurusan kolej didakwa tidak membuat semakan rekod jenayah semasa proses pengambilan kerja.

“Keadaan itu menyebabkan pihak pengurusan tidak mengetahui bahawa suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan seksual,” katanya.

Sehubungan itu, polis akan merakam percakapan pihak pengurusan kolej bagi mengesahkan perkara tersebut dan membantu siasatan lanjut.

Dalam perkembangan sama, suspek kini ditahan reman dan siasatan masih diteruskan termasuk melengkapkan rakaman percakapan saksi, pengumpulan bukti digital serta laporan perubatan.

Kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya selepas siasatan lengkap untuk arahan selanjutnya.

Semalam, dua kanak-kanak lelaki didakwa dicabul dan diliwat pekerja di tempat mereka bersekolah.

Kejadian itu didakwa berlaku di tandas asrama dan rumah suspek hingga mengakitkan mereka trauma. – MalaysiaGazette