Lebih 100 ditahan ketika kumpulan haluan kiri adakan protes anti-NATO di Turkiye

ANKARA: Pihak berkuasa Turkiye bertindak menahan lebih 100 individu yang menyertai perarakan protes anti-NATO anjuran Parti Komunis Turkiye (TKP) pada Ahad, menjelang sidang kemuncak perikatan itu di Ankara minggu depan, menurut parti berkenaan dalam satu kenyataan.

Turkiye dijadualkan menjadi tuan rumah kepada pemimpin dari 32 negara sekutu, serta pegawai dari negara rakan kongsi NATO, di Ankara untuk sidang kemuncak yang bakal berlangsung pada Selasa dan Rabu.

Pihak berkuasa dilaporkan telah mempertingkatkan langkah keselamatan di seluruh ibu negara Turkiye menjelang pertemuan itu, termasuk mengharamkan sebarang bentuk demonstrasi, memasang penghadang di sebahagian besar kawasan bandar raya, serta menutup laluan lalu lintas yang utama.

Menerusi satu kenyataan, TKP memaklumkan pihaknya telah menganjurkan perarakan protes di kawasan tumpuan Dataran Kizilay, Ankara, dan mendakwa lebih 100 ahli parti itu termasuk barisan pentadbirnya telah ditahan.

Berdasarkan rakaman video, penunjuk perasaan yang mengibarkan bendera dilihat melaungkan pelbagai slogan bantahan termasuk ‘NATO pembunuh, keluar dari negara kami’ serta ‘Tiada laluan untuk NATO’, sebelum polis antirusuhan campur tangan menggunakan gas pemedih mata untuk menyuraikan orang ramai.PauseNextMute

Sementara itu, dalam satu protes berasingan yang turut dianjurkan oleh TKP, ratusan individu berarak dari Dataran Taksim di Istanbul menuju ke Dolmabahce.

Dua lagi bantahan berasingan turut dianjurkan oleh kumpulan berhaluan kiri di daerah Kadikoy, namun tiada sebarang pergelutan atau kekecohan dilaporkan berlaku semasa tunjuk perasaan di Istanbul walaupun wujud kawalan polis yang ketat di lokasi berkenaan.

“Kami berkumpul hari ini di banyak bahagian di Turkiye untuk membantah terhadap NATO.

“Kami sudah berjanji bahawa kami tidak akan menyerahkan Ankara kepada penyokong NATO, dan kami tidak akan membiarkan Ankara terus berdiam diri. Hari ini kami telah menunaikan janji itu,” kata Setiausaha Agung TKP, Kemal Okutan di Istanbul.

Kerajaan bagaimanapun belum mengeluarkan sebarang komen atau kenyataan rasmi berhubung insiden protes mahupun tindakan penahanan terbabit setakat ini.

Bulan lalu, pihak berkuasa dilaporkan telah menangkap 103 individu sebagai sebahagian daripada serbuan antikeganasan di Ankara yang secara keseluruhannya menyaksikan seramai 225 orang ditahan.

Secara berasingan, seramai 39 individu lain termasuk wartawan dari agensi media bebas, aktivis, dan ahli akademik, turut ditahan dalam serbuan antikeganasan di seluruh negara, lapor pihak media pada Ahad.

Tindakan itu mendapat kritikan daripada Pengerusi Bersama Parti DEM yang pro-Kurdish, Tuncer Bakirhan, serta Pengerusi Parti Rakyat Republikan (CHP) lantikan mahkamah yang juga pembangkang utama, Kemal Kilicdaroglu.

Mereka menyifatkan penahanan beramai-ramai itu sebagai satu langkah yang tidak boleh diterima kerana ia dilihat menghalang hak asasi rakyat menjelang penganjuran sidang kemuncak terbabit.

“Negara ini telah diubah sepenuhnya menjadi sebuah pusat tahanan dengan menjadikan sidang kemuncak NATO sebagai alasan. Kita kini sedang melalui hari-hari darurat ketenteraan yang tidak diisytiharkan,” kata Bakirhan menerusi platform X.

Pendakwa raya Turkiye sebelum ini menjelaskan bahawa operasi terbabit adalah sebahagian daripada usaha berterusan bagi membongkar aktiviti kumpulan militan, tanpa mengaitkannya dengan penganjuran sidang kemuncak tersebut.