Sumbangan amanah rakyat, bukan lubuk NGO kaut kekayaan

Kepercayaan masyarakat dan keyakinan bakal penyumbang ialah modal paling besar dimiliki sesebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Tanpanya, sukar untuk mana-mana pertubuhan menggerakkan aktiviti kebajikan, kemanusiaan atau dakwah yang selama ini banyak membantu golongan tertindas, fakir miskin, kurang upaya dan rentan sama ada di dalam mahupun di luar negara. Justeru, laporan eksklusif akhbar ini mengenai Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) dijangka meneliti mekanisme baharu audit, memperketat pelaporan kewangan serta mempertimbangkan audit bebas terhadap NGO yang mengutip dana awam dalam jumlah besar wajar patut segera dizahirkan.

Sudah tentu kita tidak boleh menutup mata dengan kes penyelewengan dana awam membabitkan NGO sehingga mencalar imej keseluruhan sektor berkenaan. Lebih membimbangkan, siasatan pihak berkuasa mendapati terdapat pengurusan pertubuhan didakwa menggunakan wang sumbangan bagi tujuan peribadi, termasuk memperoleh kemewahan yang langsung tidak selari dengan matlamat asal kutipan derma. Ibarat nila setitik rosak susu sebelanga, ribuan NGO lain yang berkhidmat dengan penuh amanah akhirnya turut berdepan krisis keyakinan masyarakat.

Hakikatnya, setiap ringgit dan sen disumbangkan orang ramai membawa tanggungjawab besar, sama ada dalam bentuk derma, infak, wakaf atau sumbangan kebajikan. Penyumbang menyerahkan wang atas dasar kepercayaan ia akan sampai kepada golongan memerlukan, tetapi apabila amanah itu dikhianati, kerugiannya bukan sekadar membabitkan material, bahkan memusnahkan keyakinan masyarakat terhadap budaya memberi yang menjadi asas kekuatan rakyat negara ini.

Justeru, kawal selia NGO perlu diperkasakan mengikut realiti semasa. Keperluan mengemukakan penyata kewangan sahaja tidak lagi mencukupi apabila sesetengah pertubuhan mengurus dana mencecah puluhan, malah ratusan juta ringgit, apatah lagi dengan wujudnya istilah perakaunan kreatif, tetapi sebenarnya adalah cooking the books. Audit bebas, pelaporan kewangan lebih terperinci, garis panduan kutipan dana yang jelas serta pendedahan penggunaan dana kepada penyumbang perlu dijadikan amalan standard, terutama bagi NGO bergantung kepada sumbangan masyarakat.

Pada masa sama, pindaan terhadap Akta Pertubuhan 1966 juga perlu benar-benar menutup segala kelompongan undang-undang yang selama ini membuka ruang kepada penyelewengan. Hukuman maksimum RM5,000 bagi kesalahan salah guna wang atau harta pertubuhan jelas tidak lagi setimpal dengan nilai dana yang diuruskan pada masa kini. Penalti lebih berat, termasuk hukuman jenayah dan larangan memegang jawatan dalam mana-mana pertubuhan, mampu menjadi pengajaran kepada pihak yang cuba mengambil kesempatan atas nama kebajikan.

Bagaimanapun, penguatkuasaan lebih tegas tidak seharusnya membebankan NGO kecil beroperasi secara sukarela dengan kutipan terhad. Pendekatan berasaskan risiko lebih wajar dilaksanakan supaya kewajipan audit dan pelaporan disesuaikan dengan skala kutipan serta tahap pendedahan kepada dana awam. Pada masa sama, RoS juga boleh menyediakan panduan, latihan dan sistem pelaporan digital bagi membantu pertubuhan mematuhi kehendak perundangan tanpa menjejaskan operasi kebajikan mereka.

Kita mengingatkan ketelusan bukan musuh kepada NGO, sebaliknya pelindung reputasi mereka. Ini kerana tahap akauntabiliti dan integriti sesebuah pertubuhan berkadaran secara langsung dengan keyakinan masyarakat. Amanah diberikan penyumbang tidak boleh hanya bergantung kepada niat baik, tetapi mesti diperkukuhkan dengan sistem telus, audit berkesan dan penguatkuasaan undang-undang tegas.

Foto hiasan.
Foto hiasan.