Tinggal lapan pasukan buru trofi Piala Dunia

KANSAS CITY, Amerika Syarikat: Hanya lapan pasukan masih berada dalam perlumbaan memburu kejuaraan Piala Dunia dengan barisan gergasi bola sepak dunia akan berentap pada aksi suku akhir yang bermula awal pagi Jumaat ini.

AFP Sport meneliti pertembungan suku akhir yang semuanya berlangsung di Amerika Syarikat.

Perancis mln Maghribi

(Stadium Boston, Foxborough, awal pagi Jumaat, 4 pagi)

Kapten Perancis, Kylian Mbappe (kiri) akan bertembung dengan bekas rakan sepasukannya di PSG, Achraf Hakimi apabila menentang Maghribi pada suku akhir Piala Dunia 2026. – Foto AFP
Kapten Perancis, Kylian Mbappe (kiri) akan bertembung dengan bekas rakan sepasukannya di PSG, Achraf Hakimi apabila menentang Maghribi pada suku akhir Piala Dunia 2026. – Foto AFP

Perancis terus membuktikan status mereka sebagai calon utama juara apabila mengharungi saingan peringkat kumpulan dengan cemerlang sebelum menyingkirkan Sweden dan mengatasi Paraguay pada pusingan 16 terakhir.

Sukar membayangkan mana-mana pasukan mampu mengekang anak buah Didier Deschamps yang memiliki kekuatan di jentera serangan menerusi Kylian Mbappe, Ousmane Dembele, Bradley Barcola dan pemain kreatif Michael Olise.

Namun Maghribi yang masih belum tewas tidak gentar berdepan juara dunia dua kali itu selepas menyingkirkan Belanda menerusi penentuan penalti dan membenam tuan rumah bersama, Kanada 3-0 pada pusingan 16 terakhir.

Pasukan Afrika Utara itu juga pasti mahu membalas dendam di Boston selepas tewas kepada Perancis pada separuh akhir empat tahun lalu di Qatar.

Atlas Lions mencipta sejarah sebagai pasukan pertama Afrika mara ke separuh akhir pada 2022 dan kini berazam mengulangi pencapaian itu.

Sepanyol mln Belgium

(Stadium Los Angeles, Inglewood, awal pagi Sabtu, 3 pagi)

Sepanyol mempertaruhkan magis bintang sensasi Lamine Yamal untuk merobek benteng Belgium pada suku akhir. – Foto REUTERS
Sepanyol mempertaruhkan magis bintang sensasi Lamine Yamal untuk merobek benteng Belgium pada suku akhir. – Foto REUTERS

Dengan kemenangan 1-0 ke atas Portugal Isnin lalu, Sepanyol muncul pasukan pertama dalam sejarah kejohanan mencatat enam perlawanan berturut-turut tanpa dibolosi pada Piala Dunia.

Anak buah Luis de la Fuente yang juga juara Eropah mungkin tidak sentiasa memukau, namun mereka cukup berkesan dan selesa menguasai bola.

Bintang Barcelona, Lamine Yamal hanya menjaringkan satu gol dalam lima perlawanan setakat ini, tetapi Mikel Oyarzabal sudah meledak empat gol termasuk dua ketika kemenangan 3-0 ke atas Austria pada pusingan 32 terakhir.

Belgium pula hadir ke Los Angeles dengan keyakinan tinggi selepas membelasah tuan rumah bersama, Amerika Syarikat 4-1.

Sebelum itu mereka bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk menewaskan Senegal 3-2 selepas masa tambahan pada pusingan 32 terakhir.

Piala Dunia kali ini dijangka menjadi pentas terakhir buat baki pemain daripada generasi emas Belgium seperti Kevin De Bruyne dan Romelu Lukaku yang pastinya mahu menutup tirai dengan gemilang.

Norway mln England

(Stadium Miami, Miami Gardens, awal pagi Ahad, 5 pagi)

Penyerang Norway, Erling Haaland pasti menjadi duri dalam daging buat benteng pertahanan England pada suku akhir. – Foto AFP
Penyerang Norway, Erling Haaland pasti menjadi duri dalam daging buat benteng pertahanan England pada suku akhir. – Foto AFP

Pertahanan England sudah biasa berdepan penyerang berbisa Norway, Erling Haaland dalam Liga Perdana Inggeris, namun sama ada mereka mampu mengekangnya masih menjadi persoalan.

Anak buah Thomas Tuchel tiba di AS sebagai antara pilihan utama untuk muncul juara buat kali kedua dalam sejarah.

Kapten Harry Kane dan Jude Bellingham menjadi tonggak utama setakat ini dengan menjaringkan 10 daripada 11 gol pasukan termasuk ketiga-tiga gol ketika kemenangan mendebarkan 3-2 ke atas Mexico.

England yang beraksi dengan 10 pemain terpaksa bekerja keras menyingkirkan tuan rumah bersama itu dan keputusan berkenaan pasti meningkatkan keyakinan mereka menjelang aksi di Miami.

Namun mereka akan berdepan pasukan yang diterajui Haaland yang tidak mengenal erti penat apabila sudah menjaringkan tujuh gol setakat ini dalam pemburuan Kasut Emas.

Penyerang Manchester City itu menjaringkan gol dalam 14 aksi kompetitif terakhir Norway dengan jumlah 27 gol keseluruhan dan dijangka terus menguji pertahanan England yang masih rapuh.

Argentina mln Switzerland

(Stadium Kansas City, Kansas City, pagi Ahad, 9 pagi)

Switzerland perlu mengekang kehebatan kapten Argentina, Lionel Messi pada suku akhir. – Foto REUTERS
Switzerland perlu mengekang kehebatan kapten Argentina, Lionel Messi pada suku akhir. – Foto REUTERS

Argentina yang diketuai Lionel Messi mengharungi dua detik mencemaskan sebelum menempah tempat ke suku akhir menentang Switzerland.

Juara bertahan itu diheret ke masa tambahan oleh pendatang baharu Piala Dunia, Cape Verde sebelum menang 3-2.

Pada pusingan 16 terakhir pula mereka hampir tersingkir apabila ketinggalan 0-2 kepada Mesir sebelum melakar kebangkitan luar biasa dengan Messi menjadi watak utama.

Ketua jurulatih, Lionel Scaloni sedar pasukannya tidak boleh terus bergantung kepada nasib ketika memburu gelaran dunia kali keempat, namun mereka sudah membuktikan mereka tidak boleh dipandang remeh.

Kini mereka akan berdepan Switzerland di Kansas City selepas pasukan Eropah itu menewaskan Colombia menerusi penentuan penalti di Vancouver susulan keputusan seri tanpa jaringan.

Switzerland yang mara ke suku akhir buat kali pertama sejak menjadi tuan rumah pada 1954 terkenal sebagai pasukan yang tersusun dan dijangka sukar ditembusi. – AFP