EU desak Meta ubah ciri Facebook, Instagram lindungi pengguna

BRUSSELS: Kesatuan Eropah (EU) mengarahkan Meta mengubah reka bentuk platform Facebook dan Instagram yang disifatkan mempunyai elemen yang menyebabkan ketagihan atau berdepan denda yang tinggi.

Brussels menuduh syarikat teknologi dari Amerika Syarikat (AS) itu gagal mengehadkan risiko yang ditimbulkan platform berkenaan terhadap pengguna, khususnya kanak-kanak dan golongan dewasa yang terdedah, susulan ciri yang direka untuk memastikan pengguna terus meluangkan masa di Facebook dan Instagram.

Antara ciri yang menjadi kebimbangan ialah fungsi tatalan tanpa henti (infinite scroll), dan fungsi main automatik (autoplay) bagi video.

“Melindungi kesihatan fizikal dan mental rakyat Eropah mesti menjadi keutamaan platform media sosial,” kata Ketua Teknologi EU, Henna Virkkunen, dalam satu kenyataan.

EU sejak beberapa bulan kebelakangan ini meningkatkan usaha memaksa syarikat teknologi gergasi memperkukuhkan perlindungan terhadap pengguna dalam talian, terutama kanak-kanak.

Dalam penilaian awal yang dikeluarkan pada Jumaat, Suruhanjaya Eropah berpandangan Meta perlu melaksanakan perubahan pada reka bentuk Facebook dan Instagram selepas mendapati kedua-dua platform itu melanggar peraturan EU berkaitan kandungan dalam talian.

Menurut suruhanjaya itu, perubahan yang dicadangkan termasuk menyahaktifkan ciri yang boleh menyebabkan ketagihan seperti fungsi main automatik dan tatalan tanpa henti, melaksanakan peringatan waktu penggunaan skrin yang berkesan, selain menyesuaikan sistem cadangan kandungan supaya kurang berorientasikan penglibatan pengguna.

Meta bagaimanapun memaklumkan pihaknya tidak bersetuju dengan dapatan awal itu, namun akan terus memberikan kerjasama secara konstruktif kepada EU.

Sekiranya penemuan itu disahkan, EU boleh mengenakan denda sehingga enam peratus daripada jumlah perolehan tahunan global Meta.

Seorang pegawai kanan EU berkata, pihaknya tidak berniat menghukum syarikat terbabit, sebaliknya mahu memastikan perubahan dapat dilaksanakan.- AFP

SUMBER : TV3