MELAKA: Seorang pelajar baharu Tingkatan Enam meninggal dunia selepas rebah ketika menghadiri sesi orientasi kokurikulum di sebuah sekolah menengah di Jalan Chan Koon Cheng, di sini, semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintendan Halim Abas berkata, dalam kejadian 2.40 petang itu, pelajar lelaki berusia 18 tahun itu dibawa ke Hospital Melaka dalam keadaan tidak sedarkan diri dan lemah.
Beliau berkata, mangsa diberikan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) selama 68 minit, namun disahkan meninggal dunia pada jam 7.11 malam.
“Hasil siasatan awal mendapati mangsa sedang berbaris di koridor kelas bersama rakan bagi menghadiri sesi orientasi kokurikulum sebelum tiba-tiba rebah.
“Guru yang menyedari kejadian itu segera menghubungi ambulans sebelum dibawa ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, hasil temu bual dengan ibu mangsa mendapati pelajar berkenaan tidak mempunyai sejarah sebarang penyakit dan tidak mempunyai masalah kesihatan.
Katanya, mangsa yang juga anak sulung daripada dua beradik itu baharu tiga minggu mengikuti pengajian Tingkatan Enam di sekolah berkenaan selain aktif dalam kegiatan sukan.
“Sementara, laporan bedah siasat mengesahkan punca kematian mangsa akibat Coronary Artery Anomalies (keabnormalan saluran arteri koronari).
“Siasatan polis juga mendapati tiada sebarang unsur jenayah dikesan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya.
SUMBER : TV3
Baik, baik ada makna tu..

